`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, December 24, 2025

Antara politik ‘bodoh dan bangang’

Yeo Bee Yin dan Tony Pua disifatkan gagal memahami realiti budaya Melayu serta keperluan adab dalam politik gabungan, meskipun dibuat atas nama prinsip.

tajuddin rasdi

Dalam artikel ini saya ingin menjelaskan kenapa saya sifatkan tindakan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin dalam hal keputusan mahkamah berkait penahanan Najib Razak di rumah sebagai politik bodoh.

Saya juga akan memberi hujahan mengapa kenyataan bekas ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkaitan hal yang sama sebagai politik bangang.

Saya tidak sesekali menyifatkan personaliti Yeo atau Pua sebagai bodoh atau bangang tetapi hanya kenyataan-kenyataan mereka yang bersifat demikian.

Sesungguhnya saya ingin merakamkan rasa hormat kepada kedua-dua tokoh DAP ini yang cukup banyak menyumbang dengan cemerlang kepada politik Malaysia. Saya juga ingin menyatakan bahawa saya berasa tindakan kedua-dua personaliti ini adalah bukan cerminan politik matang DAP serta kepimpinan Setiausaha Agung Loke Siew Fook.

Dalam apa situasi pun sama ada dalam akademia, pengajaran atau keluarga, saya tidak senang untuk menggunakan dua istilah Melayu seperti ‘bodoh’ dan ‘bangang’. Oleh demikian, saya perlu mentakrifkan kedua-dua istilah ini dalam konteks politik negara kita semasa.

Bagi saya politik bodoh adalah tindakan atau kenyataan seseorang ahli politik tanpa banyak berfikir dan tercetus dalam keterujaannya tanpa memikir panjang atas kesan kepada tindakan itu. Perkara sedemikian adalah suatu keterlanjuran dalam keterujaan dan saya boleh maafkan sebab faktor umur muda dan sebagainya.

Maka itu politik bodoh sedemikian tidak seteruk politik bangang.

Bagi saya politik bangang adalah tindakan atau kenyataan yang berunsur ‘berprinsip’ tetapi tidak mengambil kira kesan budaya dan iklim politik semasa. Tindakan sedemikian boleh diterima sebagai berprinsip tetapi bangang kepada konteks keadaan suhu politik dan perlanggaran budaya serta nilai kaum dan agama.

Imam Al-Ghazali, dalam Kitab Ihya Ulumuddin telah dengan jelas menegur umat Islam yang menghina dan mencerca kaum kafir harbi Quraisy yang tumbang dalam peperangan. Apabila ditanya baginda
berkata ‘Mereka semua ada keluarga dan kata-kata kamu akan terhiris kepada mereka yang hidup’.

Saya juga berfahaman dalam Islam bahawa jika seseorang pesalah sedang menjalani hukuman atau telah menyempurnakan hukuman, sesiapa pun tidak dibenarkan mengungkit atau menghina status mereka sebagai banduan serta kesalahan yang dilakukan.

Tindakan Yeo dan Pua jelas melanggar melanggar adab politik gabungan atau coalition politics. Memang benar Najib telah dibuktikan sebagai pesalah rasuah namun sifat nak ‘rub it in’ atau nak ‘celebrate’ tindakan mahkamah akan mengguris hati ahli keluarga dan juga pengikut politik serta juga parti politik rakan gabungan.

Bagi saya tindakan Pua adalah tidak bijak dan menjurus kepada politik bangang apabila tindakan ini akan menyatupadukan orang Melayu keseluruhannya dari parti lawan dan parti kawan menentang perkara yang menghina ini.

Saya agak hairan bagaimana orang seperti Pua, seorang profesional dan ahli politikus yang cemerlang, tidak boleh membezakan konteks budaya Melayu dan politik gabungan semasa sehingga menyifatkan pengikut Najib dan parti UMNO sebagai ‘lovers of crooks’.

Bagi saya tindakan Yeo boleh dimaafkan tetapi tindakan Pua melanggar adab kaum, agama dan profesionalisme serta juga persefahaman politik gabungan. Ia tidak boleh dimaafkan.

Bagaimanapun tindakan politik bodoh dan politik bangang tidak langsung mencerminkan DAP yang bergabung dengan Umno serta parti lain. Kita tahu Pua adalah seperti Rafizi Ramli yang kecewa kerana tidak ditakhtakan oleh parti masing-masing ke atas jasa-jasa mereka dan kedua-dua nya tidak kisah kalau parti DAP dan PKR terkubur pada pilihan raya akan datang.

Rakyat Malaysia, daripada komen yang saya baca di Malaysiakini, memang hampir semua bersetuju dengan tindakan Pua dalam meraikan kekalahan Najib di mahkamah.

Saya tidak peduli sangat kepada rakyat Malaysia sebegini sebab mereka sendiri pun pengecut nak siarkan nama serta identiti masing-masing.

Lagipun apalah yang kita nak harapkan kepada rakyat Malaysia yang tak faham budaya politik gabungan dan hanya menjerit-jerit nak itu dan nak ini tanpa faham selok-belok diplomasi dan strategi politik dalaman.

Saya tidak tahu apa yang akan dilakukan oleh Loke selepas ini. Jika beliau menegur kedua-dua hulubalang DAP ini maka beliau akan mengewakan pengundi bukan Melayu yang memang anti-Najib dan anti-Umno. Kalau beliau sebagai pemimpin tertinggi DAP mendiamkan diri pun beliau akan diganyang oleh kumpulan yang sama.

Tahniah sebesar-besarnya kepada Pua yang bakal menjadi perwira yang menumbangkan kerajaan perpaduan dengan cara menyatupadukan orang Melayu dan parti seteru untuk bersama bergabung menjadi kerajaan baru. Akmal yang berpeluh-peluh pun tak dapat berbuat demikian.

Mungkin inilah agaknya ‘Christmas present’ bagi pimpinan pembangkang yang sejak awal mahukan Umno di sebelah mereka serta menjadikan mimpi Dr Mahathir Mohamad dalam gabungan Payung Melayu Malaysia sebagai realiti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.