Waktu itu, saya tidak sedar bahawa saya sedang berdebat bukan untuk mengembang pengetahuan, tetapi untuk mengaibkan.

Dulu muda-muda, saya memang kaki lawan. Kaki debat. Saya bukan sekadar suka berdebat, saya suka menang. Pantang ada orang ‘sudi’, saya sambut. Bab politik, bab agama, atau apa sahaja yang saya rasa saya mahir, saya akan pagut kalau orang bagi umpan. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan orang yang lebih tua, yang pada pandangan saya suka mengajar-ngajar dan merendahkan pengetahuan orang muda macam saya.
Saya sentiasa sedia berdepan dengan orang tua yang nampak ‘yo yo or‘ dan yang saya fikir saya boleh ‘makan’. Saya mahu ajar mereka sikit agar jangan ingat mereka sudah tua maka mereka itu betul sentiasa.
“Kau orang muda tak tahu betapa susahnya atuk-atuk kita berjuang dalam Umno untuk memerdekakan negara,” kata seorang pak cik suatu ketika dahulu apabila kami semua terlibat dalam gerakan reformasi yang melawan kerajaan.
Saya bantah. Saya keluar ‘kuntau‘ dan ‘tai chi‘ untuk mematahkan hujah pak cik itu.
“Merdeka apa kalau pemikiran masih berkiblatkan penjajah? Merdeka separuh masak,” kata saya, memetik idea-idea yang saya kutip daripada buku-buku perjuangan yang ditulis oleh tokoh-tokoh yang dilabel sebagai radikal.
“Siapa Burhanuddin Helmi?” tanya saya pula persis pendekar yang bersedia untuk menjatuhkan musuh dengan senjata yang disorok di dalam kocek. Apabila pak cik itu terkulat-kulat, semakin sedaplah saya ‘bahan’. Ahmad Boestamam, Musa Ahmad, Tan Malaka semua saya petik.
Hah! Jangan ingat kami budak-budak tak tahu apa. Cetek pengalaman tidak bermakna cetek pengetahuan. Kecil jangan disangka anak. Tua tidak semestinya penuh ilmu. Kalau malas membaca, apa pun tak tahu. Jadi pak angguk ajelah kau!
Waktu itu, saya tidak sedar bahawa saya sedang berdebat bukan untuk mengembang pengetahuan, tetapi untuk mengaibkan.
“Dah tua pun bodoh!” ejek saya mengajuk dialog P Ramlee dalam filem Madu Tiga.
Bab agama pun sama. Apabila ada pak cik-pak cik yang berleter betapa anak muda seperti kami ini jahil agama, saya bangkit membantah. “Pak cik sembahyang lima waktu sehari semalam, di mana letaknya qasad, ta’ayin dan ta’arud dalam gerak solat tu?” libas saya. “Cuba pecahkan mana yang dikatakan Islam, mana pula Iman dan mana dia Ihsan dalam gerak 13 rukun solat yang pak cik buat setiap hari.”
Ada yang terkedu. Ada yang terdiam. Ada yang marah. Saya puas hati. Dada saya membusung berlagak atau kata orang Bentong, ‘hegak‘.
Sehinggalah suatu hari, buku bertemu ruas.
Saya kemudiannya bertemu dengan pak cik-pak cik yang tidak meninggikan suara, tidak beria-ia mempertahankan pendapat, dan tidak pula terasa tercabar dengan hujah saya. Mereka mematahkan hujah saya dengan tenang, dengan rujukan yang saya tidak pernah temukan. Mereka menjawab dengan jawapan yang tidak pernah saya tempuhi melalui pengalaman yang saya rasa kononnya sudah banyak. Di situlah saya mula mengendur. Saya mula sedar bahawa apa yang saya tahu sebenarnya terlalu sedikit. Berdegar-degar tapi apa pun tak ada.
Semakin jauh masa bergerak, semakin kuat rasa malu bila diingat-ingatkan perangai ‘macam bagus’ itu dahulu. Dari situ saya mula belajar, sebelum bercakap menunjuk handal, perkara pertama ialah kenal dahulu siapa orang di depan. Dia diam tak bermakna dia bodoh. Dia diam kerana malas melayan orang bodoh. Ah! Malu.
Ketika ini di media sosial, saya kerap melihat posting adik-adik berusia awal dan pertengahan 40-an mula mengutuk ‘otai-otai‘ yang dikatakan sudah tidak relevan, terutama dalam politik. Idea abang-abang, pak cik-pak cik dan atuk-atuk itu kini sudah lapuk. Cara fikir ‘Boomers‘ dan ‘Gen X‘ ini sudah ketinggalan. Kawan-kawan muda saya ini juga muak melihat para karyawan senior yang selalu tunjuk pandai, kononnya masih mahu mengatur itu dan ini. Tersangkut dengan nostalgia konon zaman mereka lah paling baik.
Kini, kata kawan-kawan muda ini, giliran generasi mereka lah yang paling relevan. Mereka mula memberitahu Gen Z apa yang patut dibuat dan apa yang patut ditinggalkan. Mereka menyuruh agar jangan dengar lagi teori lapuk atuk Boomers dan pak cik Gen X. Mereka menganjurkan idea dan teori untuk membimbing anak-anak muda hari ini agar membuat pilihan yang betul.
Nanti dulu! Bukankah ini skrip lama yang diulang dengan pelakon berbeza? Dulu mereka tidak suka ditunjuk dan diajar. Kini mereka pula berdiri di posisi yang sama, nak mengajar-ngajar juga, cuma dengan istilah yang lebih moden. Dulu dipanggil ‘pengalaman’, sekarang dinamakan ‘relevan’. Pusing-pusing, struktur kuasa tetap sama. Melantik diri sendiri menjadi ‘brader-brader’ atau ‘abang besar’ berautoriti yang boleh berkata ‘kau jangan buat ini’ dan ‘kau patut buat itu’. Tak ada beza pun perangai mereka dengan senior yang mereka meluat itu.
Di situlah saya sedar, dunia ini sebenarnya berkitar dengan corak yang serupa. Setiap generasi akan sampai ke satu titik di mana mereka merasakan diri mereka paling faham zamannya, paling sesuai menentukan arah, dan paling layak memberi nasihat tanpa menyedari mereka sedang menjadi apa yang dahulu mereka benci. Pedih, kan? Itulah yang saya rasa.
26 Disember yang lalu adalah hari lahir saya. Pada usia 52, entah kenapa saya kini lebih gemar mendengar terutamanya apabila berhadapan dengan anak-anak muda 20-an dan 30-an yang berkobar-kobar berbicara tentang politik, agama, seni dan masa depan.
Saya teringat ada beberapa orang tua dahulu yang hanya tersenyum apabila saya berhujah berapi-api. Mereka tidak menyampuk dan tidak pula membalas. Tidak pula memperlekehkan apa yang saya lontarkan. Mereka ini membuat saya faham maksud, “aku lebih dulu makan garam daripada kamu”.
Mereka diam bukan kerana mereka tidak tahu. Mereka diam kerana mereka sudah melalui fasa itu. Mereka tahu hujah perlu dilunakkan oleh pengalaman itu sendiri. Mereka tidak mahu mengajar, mereka mahu kita belajar sendiri.
Dulu saya fikir usia 40-an sudah cukup matang. Rupanya tidak. Malah ketika menginjak usia setengah abad ini makin terasa kecil. Kini saya selesa duduk di tengah-tengah; mendengar semangat budak muda, dan mendengar pula labun otai-otai, sambil mengutip apa yang berharga daripada kedua-duanya. Mendengar, rupanya jauh lebih mengasyikkan daripada ghairah untuk bercakap.
Biarlah kita sendiri sahaja tahu apa yang kita tempuhi dan biarlah mereka pegang dahulu apa yang mereka percaya. Salah atau benar sesuatu perkara itu masih boleh didebatkan sehinggalah satu saat mereka sampai ke suatu titik lain yang akan menolak mereka untuk membuat suatu keputusan.
Saya tak mahu tunjuk apa-apa apatah lagi nak mengatur-atur hidup orang dengan berkata jangan itu jangan ini. Kalau tidak, nanti tidak pasal-pasal ada budak muda menjerit, “Diamlah, pak cik!” - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.