Keputusan dibuat selepas siasatan insiden tular 24 Okt lalu melibatkan 61 pelajar terkandas tiga jam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta.

Dalam kenyataan Motac berkata, ia membabitkan penganjuran program ‘Temasya Kesenian dan Kebudayaan Asia Tenggara’ yang membawa kepada insiden 61 pelajar Malaysia terkandas di Jakarta pada Oktober lalu.
“Surat sokongan ini dikeluarkan bagi membolehkan penaja program layak menerima potongan cukai bawah perenggan 34(6)(k) Akta Cukai Pendapatan sebagai insentif untuk menyokong penganjuran program seni, budaya atau warisan,” katanya.
Keputusan itu dibuat selepas Motac menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden yang tular pada 24 Okt lalu melibatkan 61 pelajar sekolah dari Malaysia yang terkandas selama tiga jam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia, bawah pengurusan syarikat berkenaan.
“Siasatan mendapati penganjur telah menukar tujuan asal program seperti yang dinyatakan dalam surat sokongan tersebut iaitu daripada persembahan kebudayaan kepada lawatan pelancongan tanpa memaklumkan Motac,” katanya.
Syarikat berkenaan juga gagal menyediakan penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman serta jadual perjalanan jelas sehingga peserta terkandas tanpa bantuan sewajarnya menyebabkan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terpaksa campur tangan.
“Tindakan ini menunjukkan kecuaian serius pihak syarikat dan telah melanggar SOP keselamatan serta garis panduan pengurusan program di luar negara,” katanya.
Selain itu, penganjur juga mengeluarkan dakwaan mengelirukan dengan menyatakan penari Motac terlibat dalam program tersebut sedangkan mereka merupakan penari bebas yang menyebabkan timbul salah faham kepada peserta dan penaja serta bercanggah dengan prinsip integriti, ketelusan dan amanah dalam pentadbiran awam.
“Liputan media di Malaysia dan Indonesia telah mengaitkan Motac secara tidak langsung dengan program itu. Kegagalan penganjur menjaga reputasi kementerian telah menjejaskan kredibiliti Motac sebagai institusi kerajaan yang profesional dan bertanggungjawab,” katanya.
Motac memaklumkan pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama syarikat dan badan bukan kerajaan dalam memperkasakan seni, budaya dan warisan negara namun tindakan berkenaan selaras komitmen Motac memastikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam semua proses.
“Sehubungan itu, mana-mana pihak adalah dilarang menggunakan atau merujuk surat sokongan tersebut bagi apa-apa urusan selepas tarikh kenyataan ini. Motac tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi yang timbul daripada penggunaan dokumen yang terbatal,” katanya.
Motac turut menzahirkan komitmen memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar garis panduan, syarat atau prosedur ditetapkan dan orang ramai digalakkan menyemak dengannya bagi program atau acara seumpama bagi mengelakkan insiden sama berulang. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.