Penafian Ismail Lasim berhubung surat peletakan jawatan menuntut penjelasan Zahid Hamidi dan Zambry Abdul Kadir bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap Umno.

Kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim selepas menghadap Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semalam, pada hemat saya, menandakan berakhirnya kemelut yang mencetuskan persoalan mengenai kedudukan pemerintah negeri serta keabsahan pelantikan Undang.
Ismail dengan jelas menyatakan pendiriannya untuk akur kepada keputusan dan tatakelola Dewan Keadilan dan Undang dalam segala urusan berkaitan adat dan pentadbiran. Politik kepartian pula tidak seharusnya mencampuri urusan berkenaan.
Alhamdulillah, sebagai rakyat yang mengikuti perkembangan ini, saya bersyukur kerana kebenaran akhirnya mendapat tempat, sekali gus meredakan kekeliruan yang sekian lama menyelubungi Negeri Sembilan.
Namun, berakhirnya kemelut perlembagaan ini membuka satu lagi persoalan yang tidak kurang serius, bukan sahaja kepada rakyat Negeri Sembilan, malah seluruh negara.
Persoalan itu menyentuh integriti pucuk pimpinan Umno, khususnya mereka yang turut memegang jawatan penting dalam Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Jika sebelum ini kedengaran laungan ‘bubar, bubar’ selepas kemenangan besar pada PRN Melaka, jangan sampai rakyat pula mula melaungkan ‘keluar, keluar’ terhadap Umno apabila integriti kepimpinannya dipersoalkan susulan kemelut yang turut dikaitkan dengan usaha menyingkirkan pemerintah negeri yang sah selain memerintah dengan baik, adil serta saksama.
Lebih membimbangkan, persoalan ini timbul daripada kenyataan Ismail sendiri, bukannya khabar angin atau dakwaan pihak ketiga.
Ismail secara terbuka menafikan beliau pernah menghantar atau memberikan persetujuan terhadap surat peletakan jawatan sebagai menteri besar yang diumumkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abdul Kadir.
Penafian itu menimbulkan persoalan besar. Mengapa surat berkenaan diumumkan kepada umum? Siapa yang menyediakannya dan atas kuasa siapa ia dikemukakan? Mengapa pula proses itu seolah-olah mendahului perkenan Yang DiPertuan Besar?
Persoalan ini tidak wajar dipertanggungjawabkan hanya kepada Zambry yang juga menteri pendidikan tinggi.
Presiden Umno Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri, turut memberikan penjelasan yang kini menimbulkan percanggahan dengan pendirian Ismail sendiri.
Sekiranya kedua-dua pemimpin itu sekadar memegang jawatan dalam Umno, mungkin kemelut ini boleh dianggap sebagai masalah dalaman parti atau isu politik Negeri Sembilan semata-mata.
Namun, hakikatnya kedua-duanya memegang amanah besar dalam pentadbiran negara. Justeru, sebarang persoalan mengenai kejujuran, ketelusan dan kewibawaan mereka tidak boleh dipandang ringan.
Sebagai rakyat Malaysia, saya mempunyai rasa hormat terhadap kedua-dua tokoh ini. Namun, perkembangan terbaharu menyebabkan saya tertanya-tanya tentang kewajaran tindakan dan penjelasan mereka.
Ada tiga persoalan utama yang perlu dijawab secara terbuka.
Pertama, siapakah sebenarnya yang menulis atau menyediakan surat peletakan jawatan Ismail yang diumumkan Zambry?
Kedua, benarkah penjelasan Zahid bahawa Ismail tidak memberikan sebarang alasan kepadanya berhubung peletakan jawatan itu? Atau adakah penjelasan tersebut berpunca daripada salah faham atau maklumat yang tidak tepat?
Ketiga, mengapakah Zahid dan Umno masih mengemukakan nama calon menteri besar baharu untuk perkenan Tuanku Muhriz, sedangkan terdapat kenyataan bahawa baginda memperkenankan Ismail meneruskan tugasnya?
Saya amat berharap Zambry dan Zahid dapat memberikan penjelasan yang jelas, menyeluruh dan meyakinkan terhadap ketiga-tiga persoalan ini.
Penjelasan itu penting bukan semata-mata untuk mempertahankan nama baik mereka, tetapi juga bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti pemimpin yang diberikan amanah untuk mentadbir negara.
Saya masih mahu percaya bahawa orang Melayu mempunyai pemimpin berwibawa yang mampu menjadi tempat rakyat bersandar, selain menghormati institusi Raja-raja Melayu dan prinsip perlembagaan.
Namun, kepercayaan itu tidak boleh dipertahankan dengan kenyataan politik semata-mata. Ia mesti disokong oleh tindakan yang jujur dan bertanggungjawab.
Dalam menilai kemelut Negeri Sembilan ini, satu lagi persoalan perlu diperhalusi. Adakah segala yang berlaku berpunca daripada perancangan tertentu, atau sekadar salah faham dan kegagalan komunikasi antara pihak berkepentingan?
Jika benar ia hanya salah faham, penjelasan yang ikhlas dan permohonan maaf sepatutnya memadai untuk membolehkan semua pihak bergerak ke hadapan.
Tetapi jika terbukti kemelut ini dirancang, sama ada oleh pihak politik, pihak adat atau kedua-duanya, kesannya jauh lebih besar daripada sekadar perebutan kuasa di sebuah negeri.
Ia boleh meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi adat, keluhuran perlembagaan dan integriti sebuah parti Melayu yang mempunyai sejarah panjang dalam pembentukan negara.
Saya ingin mengingatkan ahli politik semua bahawa this is a different age altogether. Perbuatan tersembunyi sukar ditutup dengan kewujudan media sosial dan maklumat digital.
Maklumat daripada seorang kerani sekalipun boleh membuka ruang kepada pendedahan yang akhirnya menggugat kedudukan pemimpin besar sesebuah parti.
Apabila kepercayaan mula terhakis, penyokong sendiri boleh menjadi serik, manakala rakan politik pula mungkin memilih untuk menjauhkan diri.
Sebab itulah integriti tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan dalam percaturan politik. Ia merupakan asas kepercayaan rakyat terhadap seseorang pemimpin.
Kalau nak ‘bubar-bubar’ lebih baik ‘keluar-keluar’ kerana kami perlukan pemimpin yang boleh dipercayai dan berintegriti kepada sumpah khidmat kepada rakyat semua dan sumpah ketaatan kepada Raja Melayu. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.