`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 


 




Thursday, November 19, 2026

Kukuhkan PH dahulu sebelum bincang kerjasama Bersatu, kata pemimpin DAP

Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, PH tidak seharusnya terlalu bergantung kekuatan parti lain dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Sheikh Umar Bagharib Ali tidak tolak kemungkinan PH kembali kerjasama dengan Bersatu memandangkan landskap politik negara banyak berubah sejak 2018.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) perlu memperkukuh parti komponennya sebelum mempertimbangkan kerjasama politik dengan pihak luar termasuk Bersatu, walaupun kemungkinan kedua-dua pihak kembali bergabung tidak boleh diketepikan, kata seorang pemimpin DAP.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, PH tidak seharusnya terlalu bergantung kepada kekuatan parti lain dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita tidak boleh hanya mengharapkan kekuatan orang lain. PH perlu bina kekuatan sendiri. Itu perkara paling asas,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan FMT memetik pandangan penganalisis yang mencadangkan PH melupakan rancangan menjalin kerjasama lebih erat dengan Bersatu susulan prestasi buruk pada PRN Melaka Sabtu lalu.

Ia khususnya kegagalan menyaingi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam merebut sokongan pengundi Melayu.

Bagaimanapun, Sheikh Umar tidak menolak kemungkinan PH kembali bekerjasama dengan Bersatu, memandangkan landskap politik negara banyak berubah sejak 2018.

“Bersatu pernah bekerjasama dengan PH, pernah ‘bercerai’ dan tak mustahil ‘rujuk’ kembali.

“Sebab itu saya katakan, soal kerjasama perkara yang ada seribu satu kemungkinan dalam politik Malaysia hari ini,” katanya yang berpandangan cadangan kerjasama masih terbuka dibincangkan selagi tiada pendirian rasmi dibuat.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berpandangan, PH tidak seharusnya menutup pintu kerjasama dengan mana-mana parti selagi dasar dan matlamat perjuangan mereka selari dengan gabungan itu.

“Kita tidak boleh terlalu awal menutup pintu kerana landskap politik sangat cenderung kepada politik kerjasama sama ada antara parti mahupun antara gabungan,” katanya.

Menurutnya, keterbukaan itu tidak seharusnya terhad kepada Bersatu, sebaliknya turut merangkumi Muda, Bersama, Putra dan parti lain yang berkongsi matlamat hampir sama.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Izuan Kasim turut menyokong pendekatan terbuka dengan menegaskan PH perlu memberi ruang perbincangan kepada semua pihak, bukan Bersatu semata-mata.

Beliau berkata, kerjasama politik penting dalam usaha membawa perubahan, termasuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mengingatkan PH supaya tidak bersikap oportunistik dengan menjalinkan kerjasama semata-mata untuk mengejar kemenangan jangka pendek.

“PKR, DAP dan Amanah perlu terus memperkukuh kesepakatan sebagai tiga parti teras PH yang sudah melalui pelbagai cabaran politik bersama,” katanya.

Menurutnya, keutamaan PH menjelang PRU16 sepatutnya tertumpu kepada reformasi ekonomi, sosioekonomi dan institusi, termasuk meningkatkan peluang pekerjaan, membasmi kemiskinan serta memperkukuh tadbir urus.

“Rakyat akhirnya akan menilai kerajaan berdasarkan pencapaiannya dalam memperbaiki kehidupan mereka, memajukan negara dan membanteras rasuah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.