`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 27, 2019

19 lagi dipanggil bantu siasat kematian Teoh Beng Hock

Polis mengumumkan penubuhan pasukan khas melibatkan JSJ Selangor dan Bukit Aman untuk menyiasat semula kematian Teoh Beng Hock.
KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil 19 saksi lagi untuk membantu siasatan kes kematian bekas pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock selepas peguam negara mengarahkan kes kematian mengejut itu disiasat semula bawah seksyen 342 Kanun Keseksaan pada Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata beberapa individu merupakan saksi sama yang pernah memberi keterangan untuk kes tersebut sebelum ini.
“Hari itu saya sebut, ada 7 (saksi). Nanti, akan panggil 19 orang lagi,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Pada 18 November lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan siasatan khas melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Bukit Aman untuk menyiasat semula kes kematian Teoh.
Teoh ditemui mati pada 16 Jul 2009 selepas terjatuh dari tingkat 9 Plaza Masalam, Shah Alam, yang menempatkan ibu pejabat lama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, lokasi di mana mendiang ditahan semalaman untuk disoal siasat.
Dalam perkembangan lain, Huzir berkata pihaknya masih belum menerima laporan mengenai kesahihan video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Polis masih menunggu laporan daripada pakar di Amerika Syarikat (AS) yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti video berkenaan.
“Kita belum dapat laporan itu lagi, mungkin dalam masa terdekat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.