`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, November 30, 2019

Isu Abu Chin Peng: Patriot Dangkal, Tidak Bermoral

(Ismaweb) – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya menempelak kenyataan kumpulan veteran tentera yang dikenali sebagai Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang menganggap kemarahan rakyat dalam isu Chin Peng hanya akan menimbulkan huru-hara dan pertelagahan antara kaum.
Malah, beliau berkata, andaian Patriot bahawa kemarahan orang ramai adalah satu polemik untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), adalah kenyataan yang sangat dangkal dan tidak bermoral.
“Terdapat perbezaan yang jelas antara Chin Peng dan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah pulang ke Malaysia dahulu. Seingat saya, Chin Peng tidak pernah meminta maaf dan beliau adalah ketua kumpulan pengganas yang membunuh ribuan askar, polis dan orang awam. Manakala bekas anggota lain telah memohon maaf dan mereka hanyalah pengikut.
“Patriot mengaitkan kemarahan rakyat dengan perkauman. Tetapi ingatkah bahawa yang telah terbunuh termasuk juga ramai askar dan polis yang berbangsa Cina.
“Rata-rata keluarga mereka ini masih ada dan masih terkesan dengan pembunuhan ini oleh PKM. Apakah ini dikatakan sebagai perkauman?,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Semalam, Patriot mengeluarkan kenyataan menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap isu abu bekas Setiausaha Agung PKM, Chin Peng dijadikan isu perkauman untuk memburukkan kerajaan.
Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji berharap supaya insiden memerangi PKM dapat dijadikan pengajaran untuk generasi akan datang dan bukannya membangkitkan isu perkauman.
Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan dibawa ke Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.
Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook, 81, dilaporkan berkata, separuh daripada abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.
Mengulas lanjut, Haji Aminuddin meluahkan rasa hairan apabila Patriot bersikap terlalu ‘protective’ atau melindung dan membuat sangkaan yang tidak berasas.
“Ini soal moral pejuang negara, jati diri anak bangsa, maruah negara dan emosi keluarga mangsa. Bukan soal perkauman! Tidak sama sekali.
“Kita telah dengar luahan kekecewaan ramai askar dan bekas-bekas askar yang kecewa dengan tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng ini.
“Jadi, Patriot sebenarnya tidak mewakili bekas-bekas tentera tetapi hanya pandangan peribadi sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Haji Aminuddin berkata, beliau yakin bahawa terdapat agenda tersembunyi yang cuba dibawa oleh golongan berhaluan kiri dalam menghidupkan kembali ideologi komunis dalam masyarakat.
“Saya harap Patriot lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan terutamanya untuk isu yang sensitif sebegini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.