`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, November 30, 2019

Sedarkah Kan Fook Kaum Cina Paling Ramai Dibunuh Komunis

Prof Datuk Dr Ramlah Adam, Ismaweb
Pada 12 Julai 1973 kira-kira jam 9 malam, enam pengganas komunis telah merempuh masuk ke dalam rumah seorang pegawai polis bernama ASP Chin Chin Kooi di Serdang, Kedah.
Kesemua mereka melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Chin Kooi hingga menyebabkan beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir – di depan keluarganya sendiri!
Dosa Chin Kooi di mata komunis adalah kerana pegawai polis itu amat aktif menyiasat dan membongkar kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) khususnya dalam ‘Gerakan Sedar’ di negeri itu.
Kegigihan dan kesungguhan Chin Kooi yang berjaya memusnahkan beberapa tempat persembunyian anggota PKM di kawasan Serdang dan Hutan Relau telah menyebabkan kumpulan itu nekad untuk mengakhiri riwayatnya.

Tiga bulan selepas itu, Detektif Sarjan Chong Kek Oh pula ditembak oleh anggota-anggota PKM di Sungai, Siput, Perak. Tahun yang sama juga menyaksikan mereka menembak mati Timbalan Penguasa Polis, Wong Lin Hoon di Kuala Lumpur.
Pada 3 Januari 1974, PKM bertindak membunuh Detektif Konstabel Lee See Kaw di Malim Nawar, Perak diikuti pembunuhan terhadap Detektif Sarjan Lee Yoon Chin pada 20 April 1974 di Melaka. Empat hari kemudian, Detektif Konstabel Ong Soon Chua mati ditembak di Chemor, Perak.
Pada 13 November 1975, Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pula telah dibunuh di Ipoh semasa berada di dalam kereta. Kejadian tersebut turut meragut nyawa pemandunya Sarjan Yeung Peng Cheong.
Ini hanyalah secebis kisah bagaimana pegawai dan anggota polis berketurunan Cina yang mati dibunuh oleh PKM, itu belum dicampur daripada pasukan tentera.
Namun, kita semalam dikejutkan dengan berita di mana lebih 150 orang yang hampir kesemuanya berketurunan Tionghua, dengan bangganya telah membawa balik abu mayat bekas setiausaha agung PKM, Chin Peng dari Thailand sebelum menaburnya ke laut dan gunung di tanah kelahirannya.
Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook berkata, separuh daripada abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa
Bagi memenuhi hasrat terakhir Chin Peng, kumpulan itu membawa abu mayatnya melalui tempat asalnya di Sitiawan dan kubur ibu bapanya di Lumut sebelum menabur abu tersebut di laut dan hutan.
“Biarlah dia kembali ke laut dan gunung di tanah airnya, biarlah dia selamanya dengan kawan-kawannya yang berkorban untuk negara ini,” kata Kan Fook.
Begitu bangga nampaknya Kan Fook bercerita tentang kejayaan ‘mengembalikan’ abu mayat Chin Peng ini.
Namun sedar tak Kan Fook dan rakan-rakannya itu, bangsa merekalah antara yang paling ramai dibunuh oleh PKM waktu pengganas-pengganas itu bermaharajalela!
Kalau dilihat pada sejarah ketika era Perang Dunia Kedua, kebanyakan kaum Cina di Tanah Melayu mendiami pinggir hutan bagi melarikan diri daripada pemerintahan Jepun yang kejam terhadap mereka.
PKM yang banyak bergerak di kawasan hutan tidak teragak-agak menyeksa dan membunuh kaum ini yang enggan membantu atau membekalkan maklumat serta makanan pada mereka.
Justeru, tidak hairanlah keganasan komunis pada darurat pertama (1948-1960) banyak direkodkan di negeri yang mempunyai populasi Cina teramai seperti Perak, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan berbanding di negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Melaka, Kelantan dan Terengganu.
Kekejaman tidak berperikemanusiaan PKM terhadap kaum Cina ini direkodkan pasukan keselamatan dan disaksikan pekerja estet. Kaum Cina diseksa akibat enggan bekerjasama malah penyeksaan lebih teruk dibuat kepada mereka yang secara terang-terangan menentang perjuangan PKM seperti guru, profesional dan ahli perniagaan.
Untuk rekod, sepanjang zaman darurat dari 16 Jun 1948 hingga 31 Julai 1960, sejumlah 2,473 orang awam dibunuh oleh komunis dan 1,385 orang dicederakan.
Di pihak pasukan keselamatan pula, sejumlah 1,865 nyawa terkorban dan 2,560 orang dicederakan. Justeru, kita hairan bagaimana ada orang Cina seperti Kan Fook dan rakan-rakannya boleh bertindak sebegitu ‘mulia’ untuk membawa balik abu lelaki yang pernah mengotorkan tangannya dengan darah orang-orang bangsanya sendiri.
Apapun kita jangan terperangkap dengan permainan sebegini. Jangan hanya kerana kebiadapan Kan Fook dan rakan-rakannya telah menyebabkan kita sewenang-wenangnya menuduh orang-orang Cina lain juga bersekongkol dengan mereka.
Ini kerana majoriti orang Cina masih menolak fahaman komunis dan kita percaya sentimen itu akan kekal sampai bila-bila.
Cuma kita jangan sama sekali terleka kerana senjata utama komunis ketika ini bukan terletak pada senjata, tetapi pada pemikiran dan dakyah-dakyah yang disampaikan secara ‘halus’ apatah lagi dalam era segalanya di hujung jari ini.
Ingat, dalam usaha untuk mengembangkan pengaruh komunis, memecahbelahkan perpaduan yang kita ada juga merupakan ramuan dan resipi mereka.
Tiada yang lebih menggembirakan PKM selain melihat kita sesama kaum mencurigai antara satu sama lain.
Bagi mereka, matlamat akan menghalalkan segala cara. Di akhirnya, PKM hanya letak senjata – tetapi tidak pada cita-cita! Maaf hanya untuk renungan kita rakyat Malaysia yang bersatu daripada pelbagai kaum dan budaya.
Prof Datuk Dr Ramlah Adam
Pakar sejarah

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.