`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, November 10, 2019

Hanya 2 tahfiz tak berdaftar di Selangor, 1 diarah tutup, kata MB

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata hanya dua sekolah tahfiz dikesan tidak berdaftar di negeri ini yang mana satu daripadanya diarahkan tutup.
Beliau berkata sebuah sekolah tahfiz lagi yang masih tidak berdaftar diarahkan mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan sebelum boleh beroperasi.
“Kita melancarkan operasi mengesan tahfiz haram ini sejak 2017 lagi dan secara keseluruhan kita mempunyai hampir 300 sekolah tahfiz.
“Setakat ini kita dapat laporan hanya dua tahfiz yang tidak mahu bekerjasama dengan kita, yang mana satu kita arahkan tutup dan satu lagi masih menunggu proses tertentu untuk didaftarkan termasuk pemilik perlu mengemas kini pelan pembangunan premis tersebut selain mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
Amirudin mengulas gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini yang meminta ibu bapa untuk memilih pusat atau sekolah tahfiz berdaftar bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Hari Perancang Bandar Sedunia (HPBS) peringkat kebangsaan yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.
Kerajaan Selangor juga mewajibkan semua sekolah tahfiz untuk mematuhi prosedur pembangunan premis yang bertujuan untuk menjaga keselamatan pelajar sekolah tahfiz.
“Kita mengambil pengajaran dari tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur dan kita tidak mahu ia berulang dan berlaku di negeri ini.
“Kerajaan negeri turut mewajibkan mereka untuk lengkapkan asas-asas pembangunan premis itu seperti kena mempunyai pelan bangunan, kebenaran pembinaan dan kawalan keselamatan…pihak bomba juga bekerjasama dengan persatuan tahfiz supaya dapat memantau keselamatan bangunan tahfiz ini,” katanya.
Amirudin berkata kerajaan negeri akan turut memberikan tumpuan terhadap sukatan pelajaran sekolah tahfiz di negeri ini bagi memastikan ia seimbang dengan pendidikan kebangsaan.
Langkah itu termasuk pengenalan laluan pantas untuk pelajar sekolah berkenaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas mereka menamatkan pengajian dalam bidang tahfiz dan agama.
“Antara inisiatif awal ialah fast track (laluan pantas) SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang sudah dimulakan sejak beberapa tahun lalu di mana tahun lalu ada kira-kira 200 pelajar dan tahun ini kita sasarkan lebih 200 pelajar.
“Inisiatif itu dilaksanakan melalui Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dengan peruntukan kira-kira RM1.9 juta,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.