`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 28, 2019

Kg Baru: Persatuan pemilik cadang konsep wakaf, yakin Khalid setuju

Kerajaan sebelum ini menawarkan untuk membeli tanah Kg Baru dengan harga RM1,000 sekaki persegi dalam bentuk wang tunai RM850i, hartanah, kombinasi wang tunai dan hartanah serta RM150 pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan.
PETALING JAYA: Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah (PPTWT) Kampung Baru yakin cadangan mewakafkan sebahagian tanah mereka untuk pembangunan akan disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
Setiausahanya, Zainudin Ismail berkata, konsep wakaf itu akan menguntungkan banyak pihak berbanding menjual tanah seperti ditawarkan kerajaan sebelum ini.
“Sebagai pemegang amanah, kami pilih untuk majukan tanah kami dengan cara Islam jadi saya rasa beliau (Khalid) patut sokong. Beliau dan partinya mengetengahkan konsep Rahmatan Lil Alamin, jadi kenapa tidak beliau sokong cara ini.
“Wakaf ini besar fadhilatnya, yang hidup dapat untung, yang sudah meninggal pun dapat untung. Biar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Mawip) urus keuntungan tanah yang diwakafkan itu.
“Sampai bila-bila pun tanah itu tidak boleh dijual tanpa melalui Mawip,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.
Pada 23 November lalu, PPTWT menandatangani memorandum persefahaman dengan Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) bagi perancangan membangunkan tanah di Kampung Baru dengan konsep wakaf.
Menurut Zainudin, pihaknya akan mengemukakan pelan pembangunan tersebut kepada kerajaan tidak lama lagi.
Katanya, matlamat pemilik yang menyokong cadangan mewakafkan tanah itu jelas mahu menjadikan Kampung Baru sebagai bandar wakaf untuk semua penduduknya.
“Kalau boleh kita buat hospital wakaf, tabung untuk bantu orang Kampung Baru, supaya tiada lagi orang yang susah.
“Model ini boleh menjadi perintis kepada mana-mana tempat lain yang juga mahu dibangunkan,” katanya.
Difahamkan PPTWT mempunyai 250 ahli yang turut disokong oleh kumpulan Muafakat di mana keseluruhannya mewakili sekitar 200 hingga 300 lot tanah di Kampung Baru.
Sebelum ini, PPTWT menolak tawaran kerajaan untuk membeli tanah mereka dengan harga RM1,000 bagi setiap kaki persegi dalam bentuk wang tunai RM850, hartanah, kombinasi tunai dan hartanah serta RM150 pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan.
Sebagai tambahan, pemilik tanah yang memilih untuk membeli hartanah dalam projek pembangunan di Kampung Baru akan diberikan diskaun sebanyak 15 peratus. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.