`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, November 17, 2019

Penganalisis Jangka Dr M Akan Didesak Berundur Selepas PH Kalah Di Tg Piai

(FMT) – Penganalisis politik mencadangkan Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh melepaskan jawatan perdana menteri kerana mereka menjangkakan beliau berdepan tekanan lebih besar untuk berbuat demikian susulan kekalahan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.
Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, kemenangan besar Barisan Nasional di Tanjung Piai sudah dijangkakan berdasarkan perkembangan terkini keadaan politik di bawah pemerintahan PH.
Katanya, tumpuan terarah kepada pentadbiran PH di bawah Mahathir sebagai perdana menteri yang ditambah pula PH meletakkan calon PPBM pada PRK Tanjung Piai.
“Dijangkakan tekanan akan memuncak mendesak Tun Mahathir letak jawatan.
“Belum keluar lagi keputusan rasmi PRK Tanjung Piai, pemimpin veteran PKR, Syed Husin Ali terus mendesak Tun Mahathir melakukan sesuatu dengan segera. Malah, desakan sama juga dijangka datang daripada pemimpin lain,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata, kemenangan BN juga disebabkan faktor calonnya, Wee Jeck Seng yang lebih popular daripada calon PH, selain protes pengundi Cina.
“Lazimnya, pengundi Cina juga akan mengundi calon Cina bila berdepan calon Melayu, ini terbukti dalam PRK Teluk Intan (pada Mei 2014).”
BN merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PH dengan majoriti besar 15,086 undi, di mana Wee mendapat 25,466 undi berbanding calon PH, Karmaine Sardini yang sekadar meraih 10,380 undi.
Calon Gerakan, Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz yang mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah mendapat 850 undi, sementara dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi serta 32 undi.
Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57% pengundi Melayu, Cina 42% dan India 1%.
Umum tarikh peralihan kuasa
Mahathir mengumumkan peralihan kuasa secara spesifik susulan keputusan di PRK Tanjung Piai.
“Melengah-lengahkan pengumuman tarikh peralihan kuasa akan menyebabkan keraguan rakyat, meskipun dalam kalangan penyokong PH sendiri.
“Seolah-olah Mahathir tidak mahu serah kuasa kepada Anwar Ibrahim dan ini juga antara penyebab penyokong akar umbi PKR dan DAP misalnya turut membuat protes dalam bentuk undi dalam PRK Tanjung Piai.”
Katanya, antara faktor kemenangan BN kerana rakyat tidak puas hati PH gagal menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu dan asyik menyalahkan kerajaan lama.
“Bagi pengundi majoriti Melayu, mereka melihat ekonomi rakyat masih tak dapat ditangani dengan baik, kehidupan mereka tidak berubah, khususnya dari segi pendapatan walaupun kerajaan sudah berubah.
“Dulu mereka marah isu Najib, 1MDB, GST (cukai barang dan perkhidmatan), kini isu tersebut sudah tiada dan ternyata PPBM tak dapat mengambil alih peranan Umno selama ini di Tanjung Piai.
“Bagi pengundi Cina, mereka rasa kecewa kerana berikan sokongan banyak kepada PH, akan tetapi banyak isu yang mereka hadapi kurang ditangani dengan baik.
“Isu ekonomi tidak berapa menjejaskan perniagaan orang Cina, (tapi) isu pendidikan Cina seperti UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), Utar (Universiti Tunku Abdul Rahman) bimbangkan orang Cina,” katanya sambil memaklumkan formula daripada Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS berjaya meningkatkan undi Melayu dan tidak meminggirkan orang bukan Melayu kerana BN memilih calon MCA.
Azman berkata, kesan lebih besar dirasai pemimpin PPBM dengan kekalahan ini kerana parti itu akan dianggap semakin tidak popular.
Katanya, BN mampu mencapai kemenangan lebih besar jika bekas perdana menteri, Najib Razak tidak turun berkempen di Tanjung Piai.
Sementara itu, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, keputusan PRK Tanjung Piai ialah momentum baru dalam politik tanah air yang menyaksikan pembangkang berpeluang merampas Putrajaya daripada PH.
“Ia boleh bersifat tetap jika PH tidak ambil ini sebagai iktibar dan BN melihat ini sebagai petunjuk untuk melakukan pembaharuan gelombang baru dalam paramater politik negara.”
PH hilang undi 50%
Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, keputusan PRK Tanjung Piai menyaksikan PH hilang 50% undi berbanding jumlah undi yang diperolehi dalam PRU14, iaitu kekurangan 10,000 undi.
“Pertambahan undi calon BN tidak begitu mendadak jika nak dikaitkan dengan kehilangan undi PH. Sebab itu kekurangan peratus keluar mengundi, iaitu berkurangan 16% bersamaan lebih kurang 10,000 pengundi. Menarik dibuat analisis kerana bersamaan dengan kehilangan undi calon PH.
“…jadi besar kemungkinan 16% yang keluar undi semasa PRU14, tetapi kali ini tidak adalah pengundi yang memilih calon PH. Amat jelas yang enggan keluar mengundi boleh dianggap sebagai protes, sama ada terhadap calon itu sendiri daripada PPBM atau protes terhadap PH keseluruhannya.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.