`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 28, 2019

Ratu Elsa & Sultan Muzaffar Shah



Bagaimana agaknya kalau bangsa Melayu hari ini dipimpin oleh Ratu Elsa dari Frozen II? Akan adakah taubat berjemaah seperti dipapar pada penghujung filem animasi pecah panggung yang sedang ditayang di pawagam tatkala ini?
Baginda Elsa adalah ratu impian kita semua. Adindanya adalah kerabat impian kita. Anna, yang juga nanti menjadi ratu, bukan memasang “humble” dibuat-buat. Bahawa air liur basinya itu bukan projeksi untuk mengukuhkan tanggapan rakyat. Mereka adalah keluarga keramat.
Ada bermacam-macam kaedah untuk menonton sebuah filem. Ada beraneka pendekatan. Filem menjanjikan seribu satu pengajaran jika kita jujur menghubungkan.
Dalam konteks Frozen II, betapa perlunya merenung semula sejarah yang berkabut seperti tebalnya kabus di hutan Enchanted Forest, kabus yang mendinding bangsa daripada melihat kebenaran.
Alangkah kalau kita, bangsa Melayu, atau bangsa Malaysia umumnya punya seorang pemimpin persis Elsa. Kita membayangkan Elsa, ratu Melayu ini bersama-sama Anna, Olaf, Kristoff, dan Sven (boleh sahaja namakan mereka Kudu, Lekir, Lekiu dan Kasturi) merentas rimba tebal yang penuh misteri menghala ke puncak Gunung Ledang. Semuanya sebagai satu upaya untuk membetulkan nasib malang umat Melayu kita hari ini. Yang bagai ditimpa sumpahan, terpasung dalam kecelakaan demi kecelakaan.
Jika anda sudah menonton Frozen II dan cukup terhibur dengan lagu-lagunya sepanjang 103 minit, sayugia diingatkan yang plot utama Frozen II adalah rantaian sebab akibat watak Elsa yang berusaha untuk menebus dosa leluhurnya, yakni datuknya, Raja Runeard.
Menonton Frozen II membuat kita percaya bahawa sesungguhnya dosa nenek moyang sentiasa dipikul generasi terkemudian. Ini ditunjukkan menerusi watak Raja Runeard yang mengkhianati kaum Northuldran, membunuh pemimpinnya yang tidak bersenjata, dan akibat kejahatan tersebut, sumpahan itu mengurung Arendell buat beberapa lama.
Bagaimana kalau kita membiarkan bangsa Melayu, dipimpin seorang ratu, katakan Elsa; yang dengan magisnya dapat kembali menjejak memori terdahulu. Demi membetulkannya.
Seperti laut Ahtohallan yang menyimpan semua rahsia mistik dan sejarah lampau, mungkin Elsa Melayu perlu menghilir ke Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Beting Beras Basah.
Di situ apakah yang bakal ditemukannya?
Mungkin kita wajar memetik dari teks tradisional, Misa Melayu, lantaran dosa silam nenek moyang kita yang melongokan.
Bahawa dosa itu kerana tidak pernah dibetulkan, ia menjadi sumpahan dan memasung bangsa kita sehingga menjadi suatu bangsa yang bingung.
Ratu Elsa mungkin akan melihat arca ais perihal Sultan Muzaffar Syah, bahawa untuk merawat kegeringan baginda; seorang perempuan dibunuh tanpa musabab sebagai korban, semata-mata demi memulihkan kesihatan tuanku. Demikianlah Melayu lampau melayan perempuan.
Untuk seorang bangsawan, seorang bangsat harus dicelakakan. Maka Elsa melihat semuanya, seperti membaca perenggan dari Misa Melayu:
‘Hatta maka antara sebulan lama selangnya, maka baginda pun telah datanglah sudah takdir Allah Taala; maka baginda pun geringlah terlalu sangat beratnya.
“Maka beberapa tabib mengubati baginda itu serta berbuat ubatnya, maka tiada juga baginda itu afiat daripada gering itu, makin bertambah-tambah jua geringnya baginda itu.
“Maka beberapa pula sedekah pada segala fakir miskin daripada emas dan perak dan kain beribu-ribu dikurniakan baginda hendak pohonkan rahmat ke hadrat Khaliku’l-abad, di dalam pada itu pun tiada juga betah gering baginda: tiada ketahuan bicaranya, dan igauan lakunya.
“Maka ada satu orang perempuan di dalam istana itu disuruh baginda bunuh: dibuangkan oranglah perempuan itu, kerana ia itu perempuan gila.”
Seperti mana Elsa tergamam melihat kebaculan datuknya melibas kepala pemimpin Northuldra dari belakang, Elsa berdarah bangsawan Melayu akan lebih berasa ditimpa langit tujuh petala.
Ini kerana selepas pembunuhan sedemikian berdarah, yang diwajarkan secara simplistik sebagai wajar dek “orang gila”, Sultan Muzaffar Syah yang mendekati nazak itu telah menghimpun sekian pembesar.
Memang sangat menyedihkan seorang yang lemah “dialtantuyakan”. Pembunuhan orang gila sebagai korban itu terkandung hanya dalam satu ayat. Tiada penjelasan lanjut. Tiada nama. Tiada identiti. Tiada pembelaan. Malah diwajarkan kerana gila.
Akan tetapi terdapat perenggan yang meleret-leret untuk menukilkan kerancuan bangsa. Selepas satu pembunuhan, apakah kegilaan lain yang dirakam Misa Melayu? Kegilaan lain ini jauh lebih memualkan:
‘Hatta maka sampailah antara dua bulan baginda gering, maka pada suatu hari, baginda pun tahulah ia akan dirinya telah datang kehendak Allah Taala kepadanya kerana baginda itu raja alim ulama, tambahan pula sangat kuat amal ibadatnya. Maka dialah Raja yang wali-u’llah.”
Sungguh pembunuhan ngeri perempuan gila itu tidak berbangkit lagi. Pembunuhan itu dikambus dengan kata sifat alim, kuat beramal dan wali Allah. Yang tinggal tidak disebut demi mensifatkan baginda itu adalah zahid.
Lantas kita pun bungkam. Melayu hari ini, yang Melayu Baru harusnya lebih baik dari Melayu Dulu kekal bungkam.
Apakah petikan seterusnya dari Misa Melayu?
“Maka berhimpunlah anak baginda dan anak raja-raja dan orang besar-besar menghadap baginda itu. Maka baginda pun beramanatlah pada segala anak-anak baginda dan segala orang besar-besar.
“Maka titah baginda pada segala yang menghadap itu, “Adapun pada perasaan beta, akan dunia ini lepaslah daripada dalam genggaman beta, demikian akhirnya telah; yang beta harap sekarang, baiklah anak kita Raja Mudalah yang ganti kita.
“Maka hendaklah bicara orang besar-besar dan segala hulubalang pegawai pada memerintahkan takhta kerajaan anak kita dan selenggarakan hukuman negeri ini dan membela segala rakyat di dalam negeri Perak ini.”
Maka ketahuanlah kita, dari mana kita; umat Melayu belajar mengenai keadilan pincang. Aduhai inilah momen paling “frozen”, paling membekukan dalam Misa Melayu.
Tidakkah buntu? Ia terlalu sejuk-dingin. Yang mana ia sungguh “absurd” sekali. Bahawa dua bulan lalu, seorang korban dibunuh tanpa belas, tuptup di perbaringan terdapat nasihat-nasihat tentang keadilan dan akhlak mulia, dan juga, Tuhan.
Seperti datuknya Elsa, mereka terdahulu itu juga pakar menjual agama:
“Maka bertitah pula baginda serta memandang kepada Raja Muda, demikian titahnya, “Anak kita Raja Muda pun hendaklah kiranya baik bicara berusahakan segala orang besar-besar dan anak raja-raja dan memerintahkan negeri dan membela sekalian rakyat bala tentera dan segala saudara-saudara dan hamba sahaya sekaliannya dan hendaklah muafakat sama-sama kepada barang bicara dengan sekalian orang besar-besar hulubalang dan pada anak raja-raja dan yang memegang ugama kita dan imam pegawai dan saudara anak buah sekaliannya.
Wah, tahulah kita sekarang letak duduk agamawan. Bahawa mereka itu tukang cap segala kejahatan biar jadi halal seolah-olah kebaikan.
Nah, mengertilah kita mengapa Melayu boleh memangkas pemimpin korup di pagi hari, dan menjilat kembali di remang petang. Atau memberaki seorang pemimpin di pekan, tetapi kemudian buru-buru mengelap tahinya di tanjung.
Shahdan, jelir seni jilat Melayu itu teramat lahanat mengatasi keindahan bunga seni silatnya. Mana tidaknya? Kita juga punya sejarah yang pahit. Tidaklah menghairankan nasib Malaya abadi dirundung sumpah seperti mana Arendell.
Tentu hanya Elsa sahaja yang dapat memecahkan sumpahan abadi ini. Rupa-rupanya kita Melayu dilanda sumpah dan ia mengurung kita. Itulah sebabnya bangsa Melayu tidak berminat melayani wanita dengan setara dan kemuliaan. Itulah sebabnya bangsa Melayu dilanda wabak kegilaan. Patutlah terdapat ramai Melayu yang perlu diruqyahkan.
Kita dibodohkan pemimpin korup bertalu-talu. Sebab kita bangsa yang tidak pernah mempersoalkan. Kita bangsa yang tidak pernah sedar bahawa pemimpin kita hari ini menderitai bipolar; melumur darah di tangan sebelah, manakala di tangan sebelah yang lain berbicara tentang keimanan. Sambil menyerukan kononnya agar agama itu kekal murni. Sendawa kekenyangan seraya melafazkan “rahmatan lil alamin”.
Tuhan, tidak keterlaluan kiranya memohon agar didatangkan Elsa untuk kami. Elsa adalah pemimpin yang mengakukan kesilapan dan kesalahan sebuah institusi dan dengan iltizam yang luar biasa, melawan taufan, ombak dan segala macam rintangan.
Ia mengakui setiap rinci kepahitan, dan menginsafi kejahatan terdahulu. Elsa ingin membetulkan. Baginda tahu, untuk maju ke hadapan, baginda perlu mengakui kebangsatan lampau dan mengoreksi apa yang telah berlaku.
Apakah ada pemimpin persis Elsa? Jika ada itulah PH, Permaisuri Harapan. Melayu memerlukan pemimpin ibarat cahaya yang tidak anwar. Memadai satu jalur nur. Ini kerana cahaya yang terlalu banyak, kata jamak kepada nur, akan menyilaukan.
Melayu kekal beku. Ala “frozen”. Melayu harus mendamba seorang penyelamat seumpama Elsa. Pemimpin yang selamat tersemat seluruh kemanusiaan di bawah naungannya.
Ada banyak cara menonton sebuah filem. Ada khalayak menemukan gejala perubahan iklim. Ada yang malah menemukan perpaduan dan usaha melerai sektarianisme. Tidak mustahil ada penonton merasakan feminisme dalam animasi luar biasa ini seamat membakar.
Di satu sisi, filem arahan Chris Buck dan lakon layar oleh Jennifer Lee ini sangat perlu ditonton untuk memuhasabahi pemimpin khianat.
Ada mesej menjentik di sebalik humor dan irama syahdu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.