(FMT) – Wakil rakyat pembangkang mempersoalkan jumlah peruntukkan yang disalurkan kepada Kementerian Pertahanan dalam usaha negara ingin memiliki aset pertahanan baru.
Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata jumlah peruntukan Belanjawan 2020 bagi tujuan itu tidak menunjukkan keseriusan kerajaan, selepas Menteri Mohamad Sabu mengulangi pendirian membeli aset baru khususnya bagi kawasan perairan.
“Berapa buah kapal perang berumur 30-50 tahun? Bagi negara seperti Australia dan Jepun, umur kapal perang mereka paling lama 30 tahun, kemudian mereka ‘sedekah’ kepada kita…tetapi kapal kita banyak 30 hingga 50 tahun.
“Bawah peruntukan belanjawan ini, saya tengok RM27 juta dan RM945 juta ini nak beli kapal apa? Nak ganti kapal tidak patut belanjawan macam ini,” katanya di Dewan Rakyat, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa membabitkan Kementah.
Menurut blog-blog peminat pertahanan, RM27 juta dan RM945 juta itu masing-masing merupakan perbelanjaan pembangunan untuk tentera laut bagi tujuan prasarana dan peralatan baru.
Shahidan menambah banyak kapal-kapal perang negara dalam keadaan uzur.
“Kapal uzur dan selenggara tinggi. Kalau nak bergerak ke satu tempat ke satu tempat, kalau peperangan berlaku, 8 jam baru sampai. Orang habis perang, baru sampai,” katanya.
Shahidan menepis alasan kekangan kewangan, kerana ia mengenai berapa peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar ditetapkan untuk pertahanan, mengatakan negara jiran menetapkan 10% dan ke atas bagi tujuan itu.
Shahidan berkata kelemahan dari segi aset pertahanan menyebabkan ada negara tertentu berani mempersoalkan kedudukan sempadan negara.
“Kita berapa peratus? Ini maruah negara. Kalau macam ini peruntukan, nak beli kapal apa?” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.