`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, November 11, 2019

Ucapan rasis: Polis panggil 12 individu ambil keterangan

Ketua Polis Johor, Kamarudin Md Din. (Gambar Bernama)
PONTIAN: Polis memanggil 12 individu bagi membantu siasatan dalam kes kenyataan rasis dan cauvinis oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani Salahuddin Ayub, minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Kamarudin Md Din berkata setakat ini pihaknya masih mengumpul maklumat supaya boleh dirujuk kepada peguam negara.
“Setakat ini, yang kita telah rakamkan beberapa keterangan daripada individu-individu yang berada semasa ucapan tersebut yang disampaikan oleh Salahuddin.
“Kita akan buat secepat mungkin. Sebab tahu kes itu penting melibatkan menteri kita. Jadi kita akan usahakan secepat mungkin untuk dirujuk kepada peguam negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
Pada 6 Nov lalu, Ketua Polis Daerah Pontian, Mustafa Bakri Salleh berkata buat masa ini polis membuka kertas siasatan terhadap kenyataan Salahuddin dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.
Terdahulu, pemuda Umno mendakwa Salahuddin membuat kenyataan rasis dan cauvinis ketika berkempen di PRK Tanjung Piai.
Salahuddin didakwa membuat kenyataan itu dalam satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio di Kukup Laut minggu lalu, di mana klip video didakwa ucapan itu menunjukkan beliau berkata, Malaysia akan menjadi huru-hara jika BN kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.
Susulan itu, Pemuda BN Johor membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa timbalan presiden Amanah itu disiasat.
Berhubung kes papan tanda calon Gerakan ditumbang, Kamarudin berkata kes tersebut telah selesai disiasat dan dirujuk kepada pihak peguam negara dan ditutup.
Dalam pada itu, Kamarudin berkata setakat ini pihaknya menerima 28 laporan polis berkaitan pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.
Katanya, daripada 28 laporan tersebut, polis membuka 3 laporan yang disiasat di bawah Seksyen 47 Kanun Keseksaan dan satu dibawah Seksyen 4A (1), Akta Pilihan Raya 1954.
“Dan satu kes yang dilaporkan telah rujuk kepada SPRM. Di mana laporan dibuat terhadap calon daripada BN,” katanya.
Kamarudin juga berharap parti yang bertanding mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta SPR 1954.
Beliau berkata semua parti mesti mengelak daripada provokasi yang boleh ganggu ketenteraman awam.
“Saya mengharapkan untuk tempoh yang ada hingga hari pengundian, pada 16 Nov ini berjalan dengan licin dan teratur,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.