KUALA LUMPUR: Kerajaan China berhasrat mempelawa Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengadakan lawatan lapangan ke Beijing dan Xinjiang pada April atau Mei ini untuk mendapatkan perkembangan di wilayah itu secara langsung serta sahih, kata Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.
Ini kerana katanya, hubungan Malaysia-China berkembang pesat dengan mantap sejak terjalinnya hubungan diplomatik dan secara tidak langsung kefahaman serta keyakinan satu sama lain dipertingkatkan melalui dialog.
“Saya yakin kerajaan Malaysia akan mengekalkan pendirian objektif dan adil.
“Saya juga berharap isu Xinjiang menjadi isu positif bagi umat Islam kedua-dua negara untuk meningkatkan kefahaman satu sama lain, bukannya (tertumpu kepada) isu negatif,” katanya dalam temu bual dengan beberapa media tempatan termasuk Bernama di Kedutaan China di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan media berhubung kenyataan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah yang memaklumkan kerajaan melantik Istac untuk mengkaji dan mengesahkan laporan berita berhubung etnik Uighur di Xinjiang.
Bai berkata, kerajaan China mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia ke Xinjiang untuk melihat sendiri keadaan di sana.
Katanya, agensi pelancongan di Malaysia bersetuju melakukan penerbangan sewa khas dari Kuala Lumpur ke Urumqi di Xinjiang, jika mempunyai jumlah pelancong mencukupi.
“Jika terdapat agensi pelancongan yang membawa rombongan melancong ke Xinjiang, kami akan menyediakan perkhidmatan lebih mudah supaya mereka boleh mendapatkan visa lebih lancar dan pantas.”
Sementara itu, Bai berkata, majlis perasmian Tahun Pelancongan Kebudayaan Malaysia-China 2020 akan berlangsung di Istana Budaya pada 19 Jan ini dan Perdana Menteri China, Li Keqiang serta Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad dijangka merakamkan ucapan tahniah atas penganjuran majlis itu.
Katanya, sambutan Tahun Baru Cina akan diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Jan ini dengan beberapa acara, termasuk persembahan lagu dan tarian oleh artis dari China dan Malaysia, perarakan kereta berhias, akan diadakan sebagai permulaan Tahun Pelancongan Kebudayaan kedua-dua negara.
Beliau berkata, Kedutaan China di Malaysia akan mengadakan Festival Filem dan Siri Drama Televisyen China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 14 Jan ini dengan mempromosi 7 filem, 11 drama dan 15 dokumentari.
“Satu daripada siri drama itu sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu dan akan disiarkan di RTM.”
Katanya, nilai dagangan Malaysia dan China mencecah AS$111.5 bilion bagi 11 bulan tahun lalu, manakala jumlah pelancong China yang melawat Malaysia melebihi 3 juta.
“Bagi jumlah pelancong China tahun ini, kerajaan republik itu sukar menentukan satu angka, tetapi saya dimaklumkan industri pelancongan kedua-dua negara berbincang mengenai matlamat 4 juta orang.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.