`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, January 31, 2020

RCI patut siasat isu ‘misteri’, Mujahid jawab desakan siasat TH

Mujahid Yusof Rawa.
KUALA LUMPUR: Mengulas desakan supaya suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji (TH), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata RCI sepatutnya ditubuhkan bagi menyelesaikan isu-isu yang dianggap “misteri”.
Berlainan dengan isu-isu berkaitan TH, beliau berkata ia dikenal pasti selepas audit dilakukan oleh PriceWaterHousecoopers, malah laporan polis mengenainya dibuat dan kes kini dalam siasatan polis.
Sementara itu, jemaah haji muassasah kekal membayar RM9,980 bagi musim haji 1441H/2020M daripada kos sebenar haji sebanyak RM22,900, kata Mujahid.
Beliau berkata baki RM12,920 bagi setiap jemaah akan ditanggung oleh TH bagi semua 31,600 orang, menjadikan kos keseluruhan ditanggung TH sebanyak RM408.2 juta.
“Ini tidak termasuk kos-kos lain yang ditanggung TH, seperti penganjuran kursus haji perdana sebanyak kira-kira RM70 juta.
“Jemaah haji muassasah kekal bayar RM9,980 seperti mana 10 tahun lepas…kalau kita bandingkan pada 2009, kos sebenar haji hanya kira-kira RM12,000 dan ia meningkat setiap tahun,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran Residensi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Mengenai Residensi MAIWP, Mujahid berkata pembinaannya dijadual bermula pada hujung tahun ini selepas proses tender selesai.
Pangsapuri dengan 360 unit berkenaan dicadang dibina di atas tanah milik MAIWP di Taman Pelangi Jaya, Gombak. Berkeluasan 83.6 meter persegi, setiap unit 3 bilik tidur itu dicadang dijual bawah harga RM300,000 dengan keutamaan diberikan kepada golongan B40, asnaf dan warga MAIWP yang berpendapatan rendah.
“Setelah buat tender dan sebagainya bolehlah kita lihat projek ini bermula dengan harapan kita dapat menyumbang kepada dasar rumah mampu milik yang hari ini kerajaan sedang cuba habis-habisan untuk memenuhi kuota satu juta perumahan untuk rakyat yang merupakan projek penting bagi menyediakan kehidupan selesa kepada rakyat.
“Sebenarnya kita ada tanah-tanah lain yang sedang juga dilihat…kita sedang perhatikan dan kita jangka banyak lagi tanah-tanah MAIWP ini akan dibangunkan,” katanya.
Kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 berjanji menyediakan 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun pemerintahannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.