`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, January 9, 2020

Hubungan KL-Abu Dhabi akan terjejas kerana klip audio 1MDB, kata Tok Mat


Mohamad Hasan berkata, SPRM sebagai agensi kerajaan perlu menjalankan tugas secara profesional, penuh berwibawa dan mengikut undang-undang dengan menyerahkan 9 rakaman audio berkaitan skandal 1MDB itu kepada polis untuk disiasat.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menjangkakan konflik akan timbul antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan 9 rakaman audio didakwa antara Najib Razak dan 7 individu lain berkaitan 1MDB serta SRC International.
Katanya, SPRM sebagai agensi kerajaan perlu menjalankan tugas secara profesional, penuh berwibawa dan mengikut undang-undang dengan menyerahkan semua rakaman itu kepada polis untuk disiasat.
Beliau menyifatkan tindakan agensi anti-rasuah itu mendedahkan 9 klip audio berkenaan sebagai tidak pernah berlaku dan tidak menepati standard profesionalisme yang dikehendaki.
“Pendedahan perbualan ketua negara dengan seorang pemimpin negara asing adalah kerahsiaan yang sangat penting. Ia tidak wajar didedahkan dengan sewenangnya tanpa melalui proses undang-undang.
“SPRM sewajarnya memahami kepentingan untuk Malaysia tidak berkonflik dengan mana-mana negara dalam usaha kita mencari kebenaran berkaitan skandal 1MDB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, SPRM mendedahkan rakaman audio dikatakan antara bekas perdana menteri, Najib Razak dan 7 individu lain berkaitan skandal 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya dilaporkan berkata, klip audio itu ialah rakaman panggilan telefon antara Najib, pegawai kerajaan dan 2 individu dari UAE antara 5 Jan hingga 29 Julai 2016 yang menunjukkan seolah-olah wujud konspirasi untuk memanipulasi maklumat.
Katanya, SPRM akan menyerahkan rakaman itu kepada polis untuk siasatan lanjut.
Selain Najib dan isterinya Rosmah Mansor, SPRM turut menamakan 6 individu lain terbabit dalam rakaman audio itu, iaitu Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad; Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Mubadala Development dari Abu Dhabi, Khaldoon Al-Mubarak.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menggesa polis menyiasat rakaman audio yang didedahkan SPRM hari ini untuk menegakkan hak, kepentingan dan keadilan.
“Pendedahan yang dilakukan hari ini seperti menyabitkan nama-nama mereka yang terlibat sebagai bersalah dan menimbulkan prejudis sangat mendalam terhadap mereka.
“Apa yang dilakukan hari ini telah menyebabkan profesionalisme, wibawa dan integriti SPRM dipersoalkan.” -  FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.