Walaupun harga oren naik, masyarakat Cina ingin membelinya sempena perayaan Tahun Baru Cina pada 25 Januari ini.
Bukan naik sedikit tetapi mendadak dengan peningkatan RM10 daripada RM30 kepada RM40 sekotak menurut peniaga di pasar Cina Taman Bukit Permai Cheras Baru.
Secara asasnya, buah oren dikatakan lambang biasa dalam perayaan tersebut, malah tidak lengkap jika buah oren tiada kerana ia dianggap sebagai “kam” atau emas.
Ini bermakna setinggi mana harga buah oren tersebut, ia “wajib” dimiliki dan diletakkan di rumah bagi mengharapkan tuah dan kekayaan.
Malah dengan amalan perkongsian limau mandarin, masyarakat Cina percaya berkongsi buah tersebut mampu menarik lebih banyak tuah dan kekayaan yang boleh dikongsi bersama.
Namun adakah harapan untuk menjadi kaya mampu menjadi realiti kerana pendapatan minimum ketika ini hanya pada RM1,200, dalam keadaan segala kos sara hidup kini yang semakin meningkat?
Menurut Ronnie Gaffor, 70 yang merupakan seorang usahawan suatu ketika dulu, “kam” yang diharapkan sukar untuk dicapai kerana masalah ekonomi kini tidak mampu menjadikan masyarakat mampu hidup senang, apatah lagi dilimpahi kekayaan.
“Kalau nak harapkan tuah dan kekayaan daripada buah oren, itu memang tidak boleh. Kerana keadaan sekarang memang tidak mengizinkan kita untuk mendapat kekayaan tersebut. Kita simpan wang sahaja, tapi banyak wang yang akan keluar,” katanya kepada FMT.
Jika disenaraikan satu per satu, harga petrol, bawang merah, ikan, ayam, tidak termasuk komitmen bulanan yang perlu dibayar seperti rumah dan kereta. Ditambah pula dengan tanggungan anak yang bersekolah menjadikan kewangan sangat terhad simpanan apatah lagi sebagai tabungan.
Dalam keadaan lain, ramai masyarakat kini yang mengganggur akibat beberapa syarikat yang mempunyai masalah kewangan dan akhirnya “gulung tikar”.
“Buah oren ini walaupun harga dia naik RM10 dia tidak ada kesan apa-apa pada kita, kerana setiap kali apa sahaja perayaan, harga memang akan naik dan kerajaan memang tidak boleh mengawalnya. Sama seperti hari raya, kerajaan tidak boleh kawal harga ayam, begitu juga oren,” kata Ronnie.
Secara am, majoriti limau mandarin di Malaysia adalah limau Lokan yang diimport dari wilayah Fujian di China.
Selain itu, limau mandarin juga diimport dari Chaozhou di China (limau Jiao Kam), selain Jepun dan Taiwan, tetapi dengan harga lebih mahal berbanding Lokan dari Fujian.
Harga Jiao Kam pula lebih kurang seperti harga tahun lalu iaitu antara RM50 hingga RM60 sekotak. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.