`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, January 25, 2020

Pesakit kanser payudara enggan jalani rawatan takut ‘hilang’ suami

Ramai pesakit kanser payudara berdepan kemurungan sehingga ada yang disahkan mendapat penyakit lain.
PETALING JAYA: Kebanyakan pesakit wanita yang menghidap kander payudara di Malaysia enggan menerima rawatan kerana khuatir mereka akan “kehilangan” suami.
Seorang jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Neesa mendakwa penghidap kanser payudara sering menganggap suami tidak akan suka fizikal mereka selepas menjalani kimoterapi dan radioterapi yang berterusan.
“Mereka risau, mereka tidak dapat ‘melayani’ suami di tempat tidur dengan baik.
“Namun, apa yang mereka tidak sedar, jika mengabaikan rawatan, kanser akan terus merebak dan payudara berisiko dibuang,” katanya kepada FMT.
Neesa, 58, sudah berkhidmat selama 40 tahun sebagai jururawat bermula sebagai sukarelawan dalam khidmat kaunseling khas kepada penjaga pesakit kanser.
Kini, beliau merupakan jururawat veteran di salah sebuah pusat kanser di ibu negara.
Neesa menambah, sepanjang berkhidmat, beliau berdepan dengan pesakit kanser yang terganggu emosi dan psikologi dalam tempoh menerima rawatan kerana mereka syak suami masing-masing curang kerana menjauhkan diri.
Katanya, isteri yang bertarung dengan kanser mengakui suami mereka ada hubungan intim dengan wanita lain dan keadaan menjadi lebih parah apabila suami menceraikan mereka.
Beliau berkata, disebabkan itu, isteri mereka mula putus asa dan tidak mahu meneruskan lagi rawatan yang ditetapkan oleh hospital.
“Terutama sekali, para isteri yang tidak bekerja. Mereka seolah-olah hilang terus daya upaya untuk ke hospital bagi menyambung rawatan.”
Neesa juga tidak menafikan terdapat suami penghidap kanser menghina keadaan fizikal isteri sebelum meninggalkan mereka.
“Mereka menyamakan keadaan payudara isteri seperti brokoli busuk.
“Disebabkan kata-kata seperti itu, ramai pesakit berdepan tekanan, kemurungan dan masalah emosi sehingga ada yang disahkan mendapat penyakit yang lain pula,” katanya.
Dis lalu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata kanser payudara terus menjadi penyumbang tertinggi dalam kalangan wanita di negara ini dengan 31.1 kes daripada 100,000 penduduk.
Malangnya, kata Dzulkefly, 43% penghidapp penyakit itu dikesan atau diagnosis di tahap yang lewat iaitu tahap 3 atau 4.
Jaga payudara demi suami
Seorang lagi pegawai perubatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur berkongsi pengalaman yang sama mengenai dilema yang dihadapi pesakit kanser wanita.
Dr Ida yang sudah 11 tahun berkhidmat sebagai doktor pakar dan beliau juga sukarelawan di pusat kanser yang sama dengan Neesa.
Sepanjang karier, katanya, beliau dapat merasakan pesakit kanser payu dara tidak memahami tujuan mereka mendapatkan rawatan.
“Sebab apa? Sebabnya, setiap kali para doktor bertanya, kenapa puan kena jaga kesihatan, kenapa kena jaga payudara?
“Tahu apa mereka jawab? Untuk suami, ini yang buatkan rata-rata doktor kesal dengan jawapan mereka,” katanya sambil menambah bukan sahaja wanita, malah doktor lelaki turut bersimpati dengan jawapan tersebut.
Jelasnya, pesakit tidak seharusnya memikirkan kepuasan suami semata-mata, sebaliknya mengutamakan kesihatan mereka sendiri.
“Pesakit saya yang dah kahwin ni, fikiran mereka, suami sahaja. Mereka lupa mereka juga seorang insan yang perlu diberikan perhatian dan menyayangi diri sendiri.”
Oleh itu, katanya, beliau dan rakan-rakan sentiasa memastikan pesakit kander payudara yang baru diagnosis memahami setiap tujuan, kesan dan peruntukan dalam rawatan yang diterima.
Katanya, beliau sendiri mengambil jalan untuk mencari pusat rawatan dan NGO yang menawarkan kelas kaunseling atau sesi ramah mesra antara pesakit dan penjaga.
“Ini bagi memberi ruang kepada mereka membuang segala pemikiran yang negatif dan menjauhkan diri daripada hubungan toksik yang melihat pasangan mempunyai penyakit sebagai masalah.
“Sebaliknya, sebagai satu cara untuk terus sama-sama berusaha mendapatkan semua kehidupan yang sihat,” katanya.
Ida menambah, sehingga kini, beliau masih berdepan dengan skrip yang sama setiap kali mengajukan soalan seperti di atas.
Bagaimanapun, beliau memasang harapan yang tinggi supaya keluarga, media dan masyarakat dapat mengubah persepsi tersebut. 0 FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.