PETALING JAYA: Polis berkata pihaknya belum dapat memuktamadkan siasatan ke atas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, polis masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
“Masih dalam siasatan dan kami sedang menunggu laporan dari pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) berhubung 1 akaun Facebook,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau merujuk kepada laman Facebook dikenali Pusat Kajian Ancaman Pengganas dan Misionari di Malaysia yang dikatakan cuba membuat provokasi berhubung isu tersebut.
Terdahulu, Facebook terbabit memuat naik 1 video yang mendakwa Ramasamy sedang menghasut untuk memulakan perjuangan bersenjata.
Klip video itu dikatakan asalnya dimuat naik di stesen televisyen di Tamil Nadu, Thanthi TV yang memaparkan sebahagian ucapan Ramasamy dalam satu majlis di Chennai, beberapa tahun lalu.
Julai tahun lalu, polis menyoal siasat Ramasamy atas dakwaan hubungannya dengan kumpulan pemberontak itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.