`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 10, 2020

Tindakan disiplin jika polis arah sekolah Puchong turunkan hiasan Tahun Baru Cina

Hiasan bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina itu di SMK Pusat Bandar Puchong I yang didakwa Putra bersifat keagamaan.
PETALING JAYA: Polis sudah memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan berhubung sepucuk surat mengkritik hiasan sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong I baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Ismadi Borhan berkata, polis akan memanggil beberapa lagi individu untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 selepas pihaknya menerima 2 laporan semalam.
“Beberapa individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes ini, antaranya seorang pemimpin kanan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), pihak sekolah dan persatuan ibu bapa.
“Kami akan melengkapkan siasatan kes berkenaan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya dipetik Bernama dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga menyiasat dakwaan ada anggota polis mengarahkan hiasan itu diturunkan.
“Jika ada mana-mana anggota polis yang memberi arahan untuk menurunkan hiasan berkenaan, tindakan tatatertib sewajarnya akan dikenakan,” katanya sambil menambah siasatan tidak melibatkan sebarang isu perkauman, tetapi menjurus ke arah surat yang tersebar di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat.
Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan dijalankan ke atas penulis surat yang mengkritik hiasan sambutan Tahun Baru Cina di sekolah itu kerana beliau mendapati ada unsur ugutan dan menghasut.
Kelmarin, Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengancam akan melaporkan sekolah itu yang didakwanya meletakkan hiasan Tahun Baru Cina bersifat keagamaan.
Surat yang ditujukan kepada pengetuanya, Rohani Mohd Noor, memaklumkan ia menerima aduan ibu bapa yang tidak selesa dengan hiasan “berlebihan” Tahun Baru Cina di sekolah berkenaan.
Katanya, tindakan sekolah itu bertentangan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana ibu bapa merasakan hiasan terbabit ialah cubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama lain kepada pelajar Islam. - FMT

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.