`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 20, 2021

Pertikaian tanah halang rumah penjual sayur dibina semula

 

Hong Kian Beng (dua dari kanan) bersama keluarga yang terbabit dengan kebakaran rumah pada 6 April lalu di Lorong Sempadan 2, Air Itam.

GEORGE TOWN: Pertikaian tanah menjadi penghalang buat kerajaan Pulau Pinang untuk membantu membina semula rumah tiga keluarga bersaudara yang musnah dalam kebakaran awal bulan ini.

Pengurus Pusat Perkhidmatan DAP Air Putih, Hong Kian Beng, berkata kerajaan negeri bersedia membantu, dengan syarat tiga keluarga yang mendiami rumah itu yang musnah dalam kebakaran pada 6 April lalu mencapai kesepakatan mengenai pembinaan semula rumah mereka.

Semalam, Effandy Abdul Rahim, 32, salah seorang pemilik rumah tersebut, merayu bantuan supaya rumahnya di Boundary Road, Air Itam, dapat dibina semula.

Sejak kebakaran yang memusnahkan rumah mereka itu, Effandy, isterinya dan anak perempuan mereka berusia dua tahun tinggal di tingkat atas stor simpanan barang bersebelahan tapak rumah mereka, atas ihsan jiran.

Kerajaan Pulau Pinang menawarkan keluarga itu sebuah unit di rumah pangsa untuk didiami selama dua bulan, namun ditolak kerana mereka ingin mengawasi tapak rumah tersebut, yang menurut Effandy diwarisi daripada neneknya.

Lim Guan Eng diberi keterangan oleh bomba ketika meninjau lokasi kejadian.

Hong berkata, ADUN Air Putih, Lim Guan Eng, sudah memberikan bantuan tunai segera berjumlah lebih RM10,000 kepada ketiga-tiga keluarga itu.

Beliau berkata, walaupun menghargai bantuan ditawarkan, keluarga Effandy berulang kali menolak tawaran untuk mendapatkan perumahan alternatif.

“Kami ingin membantu membina semula rumah itu, tetapi dana tidak dapat diberikan kerana tidak ada persetujuan daripada dua keluarga yang lain.

“Kami telah melakukan segala yang boleh, tetapi selagi Effandy tidak dapat menyelesaikan pertikaian dalaman berkenaan tanah, tiada apa yang dapat kami lakukan (lagi),” katanya.

Sementara itu, Effandy ketika dihubungi berkata, tidak ada pertikaian berhubung perkara berkenaan, dan semua ahli keluarga bersetuju rumah dibina semula.

Beliau sedang mendapatkan tandatangan semua ahli keluarga sebelum menyerahkannya kepada ketua kampung, katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pembaca FMT atas derma yang diterimanya, selain mereka yang turut menyampaikan sendiri sumbangan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.