`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, April 3, 2021

PM ke Brunei esok bagi lawatan rasmi

 

Muhyiddin meminta supaya tempoh lawatan diadakan kurang daripada 24 jam, memandangkan situasi Covid-19. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Brunei Darussalam bermula esok sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei.

Lawatan singkat hingga Isnin itu juga sebagai memenuhi jemputan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) hari ini, pertemuan Muhyiddin dengan Sultan Brunei itu adalah yang pertama di bawah kerangka Rundingan Pemimpin Tahunan.

Rundingan itu merupakan platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, hal ehwal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, menurut Wisma Putra.

“Kedua-dua pemimpin juga akan mengambil kesempatan untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada di samping mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pasca-Covid-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Turut bakal dibincangkan adalah cadangan pewujudan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas (RGL), cadangan kerjasama dalam bidang diplomasi vaksin dan pengukuhan kerjasama ekonomi.

Semasa rundingan itu juga, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemuktamadan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pengurusan Bencana dan pemeteraian perjanjian Unitisation Agreement di antara Petronas dan Brunei National Unitisation Secretariat (BNUS) dalam sektor minyak dan gas.

Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 diadakan di Putrajaya pada 5 Mac tahun lalu.

Memandangkan wabak Covid-19 masih melanda, khususnya di Malaysia dan Brunei, Wisma Putra berkata, Muhyiddin telah meminta supaya tempoh lawatan rasmi ini diadakan kurang daripada 24 jam.

Selain itu, bagi meminimumkan risiko jangkitan, perdana menteri hanya akan diiringi isteri, Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein serta pegawai kanan kerajaan.

Lawatan itu juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepertimana dipersetujui Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Brunei. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.