PETALING JAYA: Seorang lelaki dan wanita ditahan selepas polis menemui senjata tajam yang dipercayai digunakan untuk kandungan TikTok di Pulau Besar, Melaka, hari ini.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 41 dan 45 tahun ditahan di Pulau Besar dalam operasi bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, berdasarkan pemantauan, pihaknya menahan lima individu berkumpul di pulau tersebut.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kumpulan itu menemui sebilah pedang, dua bilah parang serta lima bilah keris.
Beliau berkata, kedua-dua suspek mengaku memiliki senjata tersebut dan memberitahu menggunakannya untuk aplikasi Tik Tok.
“Tiga individu lain bagaimanapun dilepaskan sebaik selesai memberi keterangan,” katanya menurut laporan Kosmo.
Katanya, siasatan mendapati mereka mengikuti kelas silat dan suspek wanita baru sahaja mendapat sijil sebagai peserta, manakala lelaki itu merupakan seniornya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.