`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, December 15, 2021

Cari idea baharu hasil produk menarik, Nancy beritahu pemain industri pelancongan

 

Nancy Shukri berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengadakan makmal dengan agensi lain untuk menggalakkan pemain industri mewujudkan zon pembangunan pelaburan pelancongan baharu.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengajak pemain industri pelancongan di negara ini meneroka idea baharu untuk menghasilkan produk pelancongan menarik, sekali gus memastikan Malaysia terus menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

Menterinya, Nancy Shukri berkata, langkah itu perlu sebagai persediaan sektor pelancongan negara menerima pelancong berskala besar apabila sempadan negara dibuka kepada pengembara antarabangsa kelak.

“Langkah ke hadapan kami ialah merealisasikan apa yang kami rancangkan dalam Dasar Pelancongan Negara. Kami akan berkolaborasi dengan pihak swasta untuk menggalakkan pelabur atau pihak berkepentingan daripada kerajaan negeri dan agensi lain (untuk merealisasikan Dasar Pelancongan Negara).

“Kami nak mereka bekerjasama, berkolaborasi dengan kami sebab kita perlu tampil dengan idea baharu. Sebab itu kami akan ada makmal dengan beberapa agensi lain. Ini sudah saya bincang dengan beberapa pihak untuk menggalakkan pemain industri mewujudkan zon pembangunan pelaburan pelancongan baharu.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan “Tower Walk 100” dan Sambutan Ulang Tahun Menara Kuala Lumpur ke-25 semalam.

Sementara itu, Nancy juga mahu pemain industri pelancongan tempatan, termasuk dalam kalangan usahawan muda menggunakan teknologi baharu dalam mempromosikan produk pelancongan berasaskan kebudayaan tempatan.

Katanya, cara itu boleh memperkenalkan keunikan kebudayaan Malaysia kepada negara luar, sekali gus menarik minat pelancong berkunjung ke negara ini.

Nancy berkata, RM85 bilion terimaan pelancongan (tourism receipt) asing direkodkan pada 2019, manakala pelancongan domestik berjumlah RM103 bilion. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.