PETALING JAYA: Pelajar lelaki tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar yang menjadi mangsa buli rakan setingkatan dilaporkan sedang dirawat di sebuah hospital di Selangor.
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa telah mengalami kecederaan ‘soft tissue’ atau kecederaan tisu lembut dalam badan dan kini dalam keadaan stabil.
“Keadaannya ok dan stabil namun dia masih dirawat di hospital untuk pemantauan doktor,” katanya menurut laporan Utusan Online.
Dalam pada itu, Mior berkata bapa mangsa telah membuat satu laporan polis di Selangor berhubung kejadian menimpa anak lelakinya.
“Kita telah pun mengambil keterangan mangsa bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.
Terdahulu Mior memberitahu, suspek kes buli membabitkan enam pelajar lelaki tingkatan satu yang ditahan semalam telah dilepaskan dengan jaminan polis hari ini.
Katanya, tiga pelajar lelaki berusia 13 tahun dan seorang pelajar berusia 15 tahun pula ditahan malam ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk diambil keterangan.
“Kesemua mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis sebaik siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut.
Video tersebut mendapat perhatian warganet dengan rata-rata mengecam tindakan pelajar-pelajar berkenaan yang membuli mangsa. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.