`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, March 31, 2022

Apa lagi pencuri mau?

 

Baru-baru ini saya membawa pelajar saya dari Jerman ke satu konsert yang diadakan di Istana Budaya. Konsert Lagu Rakyat itu mengetengahkan lagu zaman anak-anak, dan dendangan rakyat dari pelbagai negeri. Pembukaan kepada konsert itu melemparkan lampu bersimpang siur dan dua orang polis (atau sebetulnya penari) berbadan sasa yang turun dari atas bumbung, lengkap dengan pakaian ala pasukan khas. Lagu yang dinyanyikan ialah ‘polis sentri one two jaga, polis mati pencuri jaga’.

Saya merasai keanehan pilihan lagu mukadimah atau buka panggung itu. Mengapa lagu ‘polis sentri one two jaga, polis mati pencuri jaga’?

Untuk pelajar saya itu, mungkin lagu pembukaan tersebut menjelaskan beginilah Malaysia. Bahawa orang kita megah dan bangga dengan penyamun, penyangak, dan pembaham harta rakyat; sebaliknya polis pula yang mati kutu, dan pencuri kekal bermaharajalela dan merewang bagai seorang bos.

Tafsiran sedemikian memanglah memalukan. Malangnya kita sedang menghantar mesej yang memualkan ini kepada seluruh dunia. Bahawa tidak apa-apa berkorupsi, dan boleh keliling negara, malah dunia. Mak bapak kita di kampung yang sudah selesai membaham 200 ringgit wang ihsan dan bantuan ketika pilihan raya tentu tidak bersetuju. Adik-adik 18 tahun kita yang ikut disogok dengan top up telefon, dan nasi lemak di jalan tentu rasa tak apa pun malu, sebab memang gamaknya ‘polis sentri one two jaga, polis mati pencuri jaga’?

Hal memegahkan pencuri memang jahanam sekali. Sebab perasuah besar boleh berdalih dan mengalih dengan cara canggih. Malah mencipta naratif di media sosial, konon pejuang rakyat. Dia boleh mendanai kerumunan untuk memekik menjerit menyambutnya, supaya kelak kelatahan itu menjangkit dan ramai-ramai latah lalu dengan lekas sekali menerimanya. Padahal dia pencuri.

Ini mengingatkan saya kepada titah diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sempena ulang tahun penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR/SPRM) Ke-47 pada 2014. Iaitu ketika rasuah memang betul-betul mengakar dan negara kita sedang diaibkan dunia. Kata Sultan Nazrin, negara ini memang sedang berdepan ancaman paling dahsyat. Bencana itu adalah rasuah. Ia bukan kesakitan biasa, sebaliknya kecelakaan maha besar. Sultan Nazrin mengenal perasuah atau pencuri ini sebagai;

“…daripada kalangan yang bersifat tamak – bersifat haloba; secara umumnya daripada kumpulan atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah – gaya hidup megah. Pelaku rasuah dalam kategori ini amat licik, melakukan rasuah secara sofistikated, bijak membersihkan tangannya daripada sebarang lumpur kekotoran, tidak mudah untuk disabitkan, di samping sebahagian mempunyai hubungan intim dengan orang atasan.”

Maka tafsiran ‘polis sentri one two jaga, polis mati pencuri jaga’ yang kita ini barangkali memegahkan pencuri kelihatan benar belaka.

Jadi jika ada segelintir antara kita keanehan mengapa misalnya ada kelatahan dan histeria yang luar biasa menyambut pencuri, maka kita mestilah tahu bahawa memang sejak kanak-kanak pun kita menyanyikan; ‘polis sentri one two jaga, polis mati pencuri jaga’.

Saya malu dengan senario kita memegahkan pencuri. Saya sangat malu. Bapa dan emak kita di kampung juga harus diberitahu rasa malu ini. Adik-adik 18 tahun di flat dan Felda juga harus diasuh bahawa top up RM200 dan sedekah nasi lemak jalanan ketika berkempen misalnya adalah najis dan tahi. Adalah satu bencana. Kita mesti menggerakkan seluruh nyata hidup kita untuk menolak dan enggan akan rasuah atau korupsi.

Tuanku Sultan Nazrin dalam titah baginda pada 2014 itu sudah memberikan penawar. Apa pesan baginda? Kata baginda, kita jangan pilih kasih, jangan gentar, jangan lemah dan lemau. Jangan mati dan membiarkan pencuri jaga. Maknanya, kalau pencuri itu orang penting, kita jangan menyamping sebaliknya meligan mereka. Titah tuanku:

“Usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek pertama LANGKAH PUNITIF YANG TEGAS DAN TIDAK SELEKTIF, dilaksanakan tanpa gentar – tanpa pilih kasih; aspek kedua: LANGKAH PREVENTIF UNTUK MENGUKUHKAN INTEGRITI. TEGAS dan TIDAK SELEKTIF adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip. Negara mempunyai contoh yang boleh dijadikan tanda aras dan rujukan, dijadikan sumber inspirasi dan sumber kekuatan untuk berani bertindak.”

Huruf besar dalam titah tuanku itu dikekalkan seperti dalam teks ucapan baginda.

Tegas dan tidak memilih kasih inilah yang masih kurang. Maka pencuri boleh berwewenang. Tuanku Sultan Nazrin, malah memesankan lagi bahawa bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak bahkan sangat malu dengan perihal rasuah lantas mengambil tindakan gesit dan pantas terhadap mereka dalam kerajaan mahupun parti yang terpalitkan rasuah. Titah tuanku Sultan Perak:

“Sokongan terhadap parti pemerintah, PERIKATAN, merosot pada Pilihan Raya Umum 1969. Tun Abdul Razak peka membaca mesej rakyat. Tun Abdul Razak meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang Parti Perikatan dan kerajaan semasa kempen pilihan raya; lalu segera bertindak melakukan langkah pembetulan. Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak tidak memberi perlindungan kepada anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah.

“Atas nasihat Datuk Harun Hashim, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah. Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Said didedahkan memiliki hampir satu perpuluhan dua juta ringgit (RM1,138,403); tiga ratus tiga puluh ribu ringgit (RM329,979) disita kerana didapati diperoleh secara rasuah. Ahmad Said meletakkan jawatan pada Februari 1970.”

Anehnya, apa yang berlaku hari ini ialah pencuri berleluasa. Pencuri malah mentertawakan kita, termasuk titah tuanku Sultan ini. Ingat, titah ini dibacakan pada 2014. Si pencuri malah berlegar dengan megah dan angkuh. Ia bermain-main di media sosial dan meyakinkan mak bapak kita di kampung. Ia terus menggula-gula adik-adik 18 tahun dengan top up, minyak motor percuma, dan nasi lemak jalanan. Si pencuri tanpa segan silu menempik bernyanyi, ‘polis sentri one two jaga, polis mati pencuri jaga’.

Apa lagi pencuri mau? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.