`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, March 31, 2022

PRU dekat, orang politik tambah ligat

 

Semua ini sememangnya dijangkakan. Semakin ramai yang bercakap PRU15 akan diadakan “tidak lama lagi” semakin banyaklah kenyataan, tindakan, dan gelagat orang politik. Matlamat mereka kita tahu sama tahu. ‘TST’, kata orang dulu-dulu.

Mungkin ada dalam kalangan mereka yang ‘tulus dan ikhlas’. Tak ada udang sebalik mee. Namun, saya tidak dapat elak daripada memendam “syak wasangka” apa yang orang politik buat pada saat ini ada kena mengena dengan PRU. Ertinya nak cari populariti – sekali gus sokongan.

Beberapa hari lalu, seorang senator daripada PAS, Khairil Nizam Khirudin, membuat hantaran di media sosial menggesa kerajaan (yang PAS ada di dalamnya) meminda Perlembagaan supaya menjamin (dengan hitam putih lah tu) jawatan Perdana Menteri dikhaskan hanya untuk orang Melayu-Islam.

Khairil menafikan gesaannya itu “populis” mahupun “ekstremis”. Sebaliknya, kata beliau, gesaan dibuat “kerana menyedari hakikat bahawa Islam adalah agama persekutuan yang perlu terus ditegakkan dan dipelihara kesuciannya”.

Setelah sekian lama yakni lebih 60 tahun Perlembagaan diguna pakai, baharu sekarang hakikat Islam agama persekutuan yang mesti ditegakkan dan dipelihara kesuciannya (seperti dikatakan Khairil) disedari?

Mengenai jawatan Perdana Menteri pula, menurut Perkara 43(2), Perdana Menteri dilantik oleh Yang di Pertuan Agong dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Walaupun Perlembagaan tidak menyebut secara spesifik bangsa, keturunan, dan agama orang yang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri, sudah lama wujud satu ‘adat kebiasaan’ atau “unwritten law” yang diterima dan digunapakai bahawa Perdana Menteri mesti orang Melayu.

Ini diakui pakar-pakar Perlembagaan dan ini juga amalannya sejak berzaman. Kata pakar Perlembagaan dan juga pakar sejarah, ini sesuatu yang logik Perdana Menteri datang daripada bangsa atau kaum majoriti. Ini juga lazim di negara lain.

Tokoh sejarah, mendiang Khoo Kay Khim, pada Jun 2012 dipetik berkata semua pihak menerima hakikat bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Tanah Melayu (Semenanjung) dan orang Melayu adalah majoriti berbanding bangsa atau kaum lain.

Menurut Perkara 40(2) Perlembagaan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai ketua negara. Agong ialah dalam kalangan raja-raja Melayu yang menjaga atau memayungi rakyat terutama kedudukan dan kepentingan orang Melayu.

Berdasarkan itu semua, khususnya peranan Agong dalam perlantikan Perdana Menteri, perlu atau wajar kah gesaan Khairil dibuat?

Bagi saya ada dua faktor utama yang memastikan orang Melayu-Islam menjadi Perdana Menteri. 1) Adanya ‘adat kebiasaan’ tidak bertulis yang diterima semua pihak dan 2) kehadiran Agong.

Tidakkah Khairil sedar akan faktor-faktor ini? Tentu sebagai seorang berstatus senator tahu ini semua. Pun begitu beliau utarakan juga gesaannya. Mengapa? Sila buat interpretasi masing-masing.

Itu bab PM. Ini pula soal “akidah”.

Beberapa hari lalu Khairil selaku Ketua Penerangan PAS mengeluarkan kenyataan rasmi partinya mengajak umat Islam ‘mempertahankan’ akidah tiga kanak-kanak yang sekarang berada di pangkuan ibu mereka yang bukan beragama Islam.

Nyata beliau merujuk kes Loh Siew Hong dan anak-anaknya. Kita tahu sebelum ini mahkamah mengarahkan ketiga-tiga anaknya diserah kembali kepada Loh yang merupakan ibu kandung mereka.

Polemik atau boleh dikatakan kontroversi tercetus berhubung pengislaman kanak-kanak bawah umur berkenaan, khususnya apabila penukaran agama untuk mereka dibuat secara satu pihak yakni oleh bapa mereka yang memeluk Islam.

Berdasarkan Perlembagaan (undang-undang tertinggi) penukaran agama untuk anak-anak mesti dibuat dengan izin dua pihak iaitu ibu DAN bapa. Loh diberitakan akan ke mahkamah untuk mencabar penukaran agama anaknya.

Sekarang PAS, seperti disebut tadi, mengajak umat Islam mempertahankan ‘keselamatan akidah’ kanak-kanak terbabit. Ini bagi saya strategi ‘bijak’ pada aspek politik. Dengan ‘ajakan’ sedemikian PAS meletakkan lawan politiknya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam dalam keadaan rumit. Lebih tepat ‘serba salah’.

Jika mereka enggan ‘bersama’ PAS mereka akan dituduh tidak mahu menyelamatkan akidah anak-anak Muslim. Lantas akan dimarahi sebilangan besar orang Melayu-Islam. Tetapi mereka tahu apa yang perlu dilakukan mesti berpandukan Perlembagaan dan perundangan negara.

Bagi saya ini satu “perangkap politik”. Diulang maklumlah PRU dikatakan akan muncul tidak lama lagi.

Tetapi bagaimana pula dengan rakan PAS dalam Perikatan Nasional yang beragama Islam? Bersatu umpamanya. Tidakkah ‘ajakan’ PAS meletakkan mereka pada keadaan serba salah juga? Sesuatu yang pasti isu ini menyusahkan rakan PAS yang bukan Islam seperti Gerakan.

PAS juga menerusi kenyataan yang dikeluarkan Khairil memberitahu “PAS memberi amaran tegas jangan ada mana-mana pihak yang ingin atau berhasrat menukar agama anak anak berkenaan”.

Jadi apa yang PAS cadangkan? Menafikan hak si ibu yang dijamin undang-undang? PAS mahu umat Islam menentang Perlembagaan? Jika itu mahunya bagaimana caranya?

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pun sebelum ini ada melahirkan kesesalan, kekecewaan, dan kemarahan bahawa “agama Islam tidak boleh bertindak mengatasi undang-undang ciptaan manusia” dan apa yang pada pandangannya “hukum nyata daripada hukum Islam boleh dibatalkan oleh mahkamah dan para hakim”.

Justeru boleh atau tidak disimpulkan PAS menolak Perlembagaan sedia ada dan mahu Perlembagaan baharu diwujudkan? Hujah yang mereka gunakan ialah “pinda perlembagaan”. Adakah ini bermakna ‘pinda sehingga berwajah baharu’?

Persoalannya ke mana negara ini mahu dibawa PAS? Adakah PAS sudah mengambil kira kepentingan keseluruhan umat Islam dan bukan hanya golongan Islam yang sewaktu dengannya? Apatah lagi kepentingan dan kesejahteraan orang bukan Islam?

Adakah PAS sendiri tahu apa yang mereka mahu, lantas tahu apa yang mereka perlu lakukan? Atau semua yang dipertontonkan sekadar cakap-cakap dan gelagat sebelum PRU15?

Bagi saya ia lebih kepada “political stunt”. Gimik politik, dan akan ada lebih banyak kenyataan berbentuk cadangan, tuntutan, dan desakan oleh orang politik apabila PRU15 makin hampir. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.