`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 29, 2022

PRU15: Pejuang ambil pendekatan ‘ukur baju di badan sendiri’

 

Pejuang bertekad mempertahankan kerusi disandang parti itu termasuk Parlimen Langkawi walaupung Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tidak akan bertanding.

KUALA LUMPUR: Pejuang mengambil pendekatan “ukur baju di badan sendiri” pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan bertanding mengikut kapasiti dan kekuatan parti.

Presidennya Mukhriz Mahathir berkata, mengambil iktibar daripada kekalahan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, pihaknya akan mempertimbang terlebih dahulu pelbagai faktor antaranya keahlian, kualiti calon dan kawasan berpotensi untuk dimenangi.

“Selepas kejadian di Johor, jadi kami memang sangat faham yang kita kena ukur baju di badan sendiri, kekuatan kita macam mana dari segi keahlian, jentera, calon yang terbaik, kesesuaian untuk kita bertanding di satu-satu kawasan.

“Jadi, itu sedang dipertimbangkan, dari segi jumlahnya belum kita tetapkan lagi tapi yakinlah ia akan jadi satu jumlah yang kita rasa setimpal dan sesuai dengan sebuah parti seperti kami ini,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perjumpaan bersama pemilik dan waris Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, hari ini.

Mukhriz berkata, bagaimanapun Pejuang bertekad mempertahankan kerusi disandang parti itu.

Katanya, ia termasuk Parlimen Langkawi walaupung Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tidak akan bertanding.

“Pejuang tentu memperjuangkan kerusi Langkawi, kami akan pertahankan semua kerusi yang telah dimenangi dan yang belum dimenangi,” katanya.

Disoal mengenai kerjasama pada PRU15, Mukhriz berkata partinya sedia membuka ruang kepada mana-mana parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai prinsip sama.

“Saya akui kita di sebalik tabir memang berjumpa dengan banyak parti, baik daripada kerajaan mahupun pembangkang dan yang bukan kedua-duanya, parti yang sebelum tak bertanding pun.

“Kita cuba cari di mana titik persamaan, di mana kita boleh bersama menghadapi PRU15 akan datang,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.