`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 8, 2022

10 bekas MP PKR akan lari, kerajaan tumbang jika PM gugur Zuraida, kata penganalisis

 

Menurut seorang penganalisis, Zuraida Kamaruddin mempunyai pengaruh dalam kalangan bekas wakil rakyat dan ahli PKR.

PETALING JAYA: Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan 10 bekas Ahli Parlimen PKR akan menarik sokongan sekaligus menyaksikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tumbang jika Zuraida Kamaruddin digugur dari Kabinet.

Ahmad Atory Hussain.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata tidak mudah untuk Ismail mengugurkan Zuraida walaupun telah keluar Bersatu menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Katanya, ini kerana ahli Parlimen Ampang itu mempunyai pengaruh dalam kalangan bekas wakil rakyat dan ahli PKR.

Kata Atory, kedudukan perdana menteri boleh tergugat bila-bila masa dan disebabkan itu, Ismail bertindak dengan berhati-hati untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya.

“Manfaat yang perdana menteri dapat dengan mengekalkan Zuraida penting kerana ahli Parlimen Ampang itu mempunyai 10 atau 11 bekas ahli Parlimen PKR yang menjadi pengikut dan penyokong.

“Kalau Ismail gugurkan Zuraida dan dilantik menteri baru dari Bersatu, alamatnya sokongan penyokong Zuraida termasuk 10 penyokongnya, termasuk Mohamed Azmin Ali tentu lari dari Kabinet menyebabkan kerajaan Ismail akan tumbang,” katanya kepada FMT.

Azmi Hassan.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara tidak menolak bahawa tindakan perdana menteri mengekalkan Zuraida dalam Kabinet sebagai salah satu strategi Umno mendapatkan sokongan PBM yang disertai ahli Parlimen Ampang itu pada PRU15.

“Ini strategi politik kerana Umno dan BN memerlukan sokongan tak kira daripada mana. Jadi, dalam PRU15 tak rugi apa-apa bagi pihak Umno kerana Umno berseteru dengan Bersatu. Umno dapat manfaat jika PBM mempunyai sokongan kuat dan PBM bersama Umno menempuh PRU15.

“Jadi, ini timbang balas perdana menteri berkeras bahawa Zuraida masih menteri,” katanya.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) pula berpandangan Ismail tidak mahu memburukkan lagi situasi politik dengan membuat keputusan terburu-buru menggantikan Zuraida walaupun digasak pemimpin Bersatu.

Awang Azman Pawi.

“Jika perdana menteri melayan tuntutan Bersatu ia akan menyebabkan ketidakpuasan PBM dan mengundang kemarahan dari Umno. Ini menyebabkan konflik semakin teruk dan krisis kepercayaan terhadap Ismail akan tercetus mampu mengancam kedudukannya sebagai perdana menteri.

“Ismail amat selesa dengan politik ‘play safe’ untuk kekalkan kuasanya sebagai perdana menteri dan jaga reputasinya sendiri dan tak mahu mencipta musuh baharu dalam politik.

Pada 1 Jun lalu, Ismail berkata, Zuraida hanya keluar Bersatu, bukan berundur sebagai menteri susulan tuntutan parti itu mahukan jawatannya diisi calon baharu daripada Bersatu.

Ismail berkata, kedudukan Zuraida dalam Jemaah Menteri perlu dibincangkan antara mereka berdua terlebih dahulu.

Semalam, Zuraida berkata beliau akan menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, susulan kenyataan Ismail itu, meskipun meninggalkan parti komponen pemerintah dan berada di luar Perikatan Nasional mahupun Barisan Nasional. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.