`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, June 30, 2022

Jangan ambil kesempatan potong gaji jika pekerja mohon AKF, kata MTUC

 

Aturan Kerja Fleksibel (AKF) dilihat lebih sesuai untuk pekerja dalam ekonomi gig, perniagaan dalam talian dan pemasaran, menurut MTUC.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengingatkan majikan agar tidak mengambil kesempatan terhadap pekerja yang memohon Aturan Kerja Fleksibel (AKF) dengan melakukan pemotongan gaji dan elaun.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ini kerana pihaknya tidak mahu perkara sama berulang apabila ada pekerja masih membuat aduan bahawa gaji mereka dipotong sejak dilanda pandemik sehingga sekarang.

Katanya, adalah penting untuk pekerja terbabit mencapai kata sepakat dengan majikan masing-masing sebelum memohon AKF supaya ia tidak memberi kesan terhadap produktiviti masing-masing.

“Kita cuma tidak mahu timbul isu nanti apabila ada masalah di mana pekerja dipotong gaji dan elaun kerana memohon AKF. Kita harap perkara ini tidak berlaku.

“Ini kerana, sejak berlakunya pandemik hingga sekarang kami masih lagi menerima aduan pekerja yang dipotong gaji. Walaupun kita sudah dalam fasa peralihan endemik, masih ada yang tidak memulangkan gaji asal pekerja.

“Jadi, mana-mana pekerja yang ingin memohon AKF, pastikan bahawa ia sesuai dengan tugas dan tidak memberi kesan terhadap produktiviti kerja. Majikan pula diingatkan jangan cuba mengambil kesempatan potong gaji atau elaun,” katanya.

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini mengumumkan bahawa pekerja di negara ini yang ingin bekerja secara fleksibel boleh membuat permohonan AKF kepada majikan masing-masing, bermula 1 Sept depan.

Timbalan Menterinya, Awang Hashim yang dipetik berkata, permohonan itu perlu dibuat secara bertulis dan boleh meliputi perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan juga tempat bekerja.

Bagaimanapun, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dilaporkan berkata, AKF tidak sewajarnya ditentukan kepada perniagaan, sebaliknya, industri perlu membuat penetapan berdasarkan keperluan perniagaan mereka.

Mengulas lanjut, Effendy berkata ia sebenarnya sukar dilaksanakan untuk semua industri memandangkan ada sektor yang amat memerlukan pekerja di lapangan.

Katanya, ia mungkin lebih sesuai untuk pekerja dalam ekonomi gig, perniagaan dalam talian dan pemasaran.

“Sebenarnya ia satu ruang dan peluang untuk pekerja tetapi kita berpandangan bahawa ia bergantung kepada industri selain majikan dan organisasi tersebut.

“Ada industri yang benar-benar memerlukan pekerja di lapangan dan ada industri yang boleh menetapkan aturan waktu fleksibel,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.