`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, June 23, 2022

Bersatu tak kemaruk, tak ugut PM bagi jawatan menteri, kata pemimpin

 

Muhammad Faiz Na’aman mengulas kenyataan Razlan Rafii yang menggesa perdana menteri supaya tidak melayan sebarang ugutan mahupun desakan mana-mana pihak.

PETALING JAYA: Pemimpin Bersatu menolak tuduhan pemimpin Umno kononnya parti itu cuba mengugut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk merombak barisan Jemaah Menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Muhammad Faiz Na’aman berkata, pihaknya sangat menghormati hak prerogatif perdana menteri, namun sebagai kerajaan yang dibentuk bersama, rundingan dengan ketua-ketua parti perlu dibuat dalam menentukan kedudukan menteri.

Katanya, ini termasuk Zuraida Kamaruddin selepas ahli Parlimen Ampang itu menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Tiada siapa sebenarnya dari Bersatu yang mengugut, memaksa atau mahu mengajar perdana menteri berkenaan hal ehwal barisan Jemaah Menterinya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Namun dalam situasi kerajaan yang dibentuk secara bersama dan musyawarah, adalah suatu kelaziman untuk seseorang perdana menteri berunding dengan ketua-ketua parti yang membentuk kerajaannya bagi mengekalkan keharmonian dan kerjasama.

“Apa yang disuarakan di media dari pihak kami ialah sekadar permohonan agar ia dipertimbangkan oleh perdana menteri,” katanya kepada FMT.

Katanya, dalam kes Zuraida, perdana menteri wajar berunding dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kerana ia melibatkan kuota kerusi menteri dari parti itu yang telah “dikhianati”.

“Kuota itu pula adalah hasil perjanjian bersama ketika membentuk kerajaan persekutuan dari Perikatan Nasional atau yang dipanggil kerajaan Keluarga Malaysia pada hari ini.

“Parti PBM yang disertai Zuraida itu tidak tergolong dalam kelompok parti yang membentuk kerajaan sekarang,” katanya dengan menambah, parti berkenaan juga tiada sebarang perjanjian dengan kerajaan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii yang menggesa Ismail supaya tidak melayan sebarang ugutan mahupun desakan mana-mana pihak yang dilihat cuba mengganggu gugat perjalanan pentadbirannya.

Mengulas lanjut, Faiz menyifatkan Razlan sebagai lupa sejarah dengan menuduh pemimpin Umno sebenarnya kemaruk kuasa dan suka mengugut apabila bertindak menekan Muhyiddin sewaktu menjadi perdana menteri supaya jawatan timbalannya diberi kepada parti mereka.

“Mungkin beliau lupa sejak Okt 2020 ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri, banyak laporan berita mengenai tuntutan pihak Umno berkenaan jawatan timbalan perdana menteri sehingga turut dibincangkan mesyuarat badan tertinggi parti tersebut,” katanya.

Menurutnya, sejarah membuktikan Umno ketika itu bukan saja mengugut Muhyiddin malah menarik sokongan di saat negara dalam pemulihan pasca-Covid-19 demi menjatuhkan perdana menteri kelapan itu.

“Antara alasan yang diberikan oleh beberapa pemimpin kanan Umno sehingga kini ialah kononnya Umno perlu berkuasa mutlak dan menjadi ketua dalam kerajaan Malaysia.

“Apakah itu bukan kemaruk jawatan dan kuasa?” soalnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.