`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 9, 2022

DAP ‘lucu’ main kata-kata, tak ikhlas, kata Warisan

 

Pemimpin DAP dilihat hanya bermain kata-kata apabila mempersoalkan kerjasama dengan Warisan, kata Ketua Penerangan Warisan Awang Ahmad Sah Sahari.

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Warisan Awang Ahmad Sah Sahari berkata, DAP tidak ikhlas dalam menjalinkan kerjasama dengan parti itu susulan kenyataan dikeluarkan pemimpin mereka sejak akhir-akhir ini.

Katanya, pemimpin DAP dilihat hanya bermain dengan kata-kata apabila mempersoalkan kerjasama antara kedua-dua parti itu.

“Kami berasa lucu kerana DAP telah bermain dengan kata-kata semantik sebagai satu bentuk pertahanan.

“Apabila Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyatakan adalah menjadi ‘pendirian’ parti untuk mempertahankan tiga kerusi Parlimen dimenanginya di Sabah, bukankah itu sudah meletakkan satu syarat, sedangkan Loke menafikan partinya meletakkan sebarang syarat untuk bekerjasama dengan Warisan pada PRU15 akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Awang turut menempelak kenyataan Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe yang melabelkan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai hipokrit.

Sebaliknya, beliau menegaskan DAP sendiri menunjukkan sikap hipokrit dan memberikan sebagai contoh, keengganan parti itu melaksanakan formula tuntutan Sabah ke atas 40% hasil dikutip kerajaan Persekutuan ketika Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan.

“Kini mereka telah memfailkan tindakan undang-undang untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa formula berkenaan masih terpakai. Kenapa bertindak sekarang apabila DAP kini menjadi pembangkang dan pilihan raya sudah semakin hampir?

“Adakah kerana MoU (memorandum persefahaman) ditandatangani dengan kerajaan sudah menghampiri tarikh tamat tempoh?” soalnya dengan menambah masanya tidak sesuai, malah menimbulkan seribu satu tanda tanya.

Awang berkata, terdapat contoh lain kegagalan DAP menunaikan janjinya kepada rakyat bukan saja di Sabah tetapi di seluruh negara.

“Perjuangan kami adalah untuk kebaikan kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Kami mahukan kemajuan untuk negara dan perjuangan ini berpandukan prinsip. Di manakah prinsip anda apabila perbuatan anda gagal menunjukkannya?” katanya.

Terdahulu, Loke dalam sidang medianya di Sabah, baru-baru ini, menyatakan DAP sedia berbincang dengan Shafie berhubung kerjasama politik antara mereka, namun berkata perbincangan itu haruslah dalam suasana saling menghormati dan memenuhi syarat minimum DAP iaitu mempertahankan tiga kerusi Parlimen dimenangi mereka di Sabah pada PRU lalu.

Shafie kemudian memberi reaksi dengan mengatakan perbincangan yang dicadangkan Loke itu hanya bersifat “satu aliran trafik” kerana mereka meletakkan syarat sebelum perbincangan berlangsung. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.