Pengguguran Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan siri peristiwa yang menyusul menguatkan persepsi Umno berceramuk dan berpecah-belah di peringkat tertinggi dalam menuju ke pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Pasir Salak itu dilucutkan jawatan beberapa hari selepas beliau disahkan sebagai duta besar ke Indonesia oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga naib presiden Umno.
Tajuddin “dibuang”, digantikan dengan Isham Jalil yang dipecat sebagai ketua penerangan Barisan Nasional Selangor beberapa hari sebelum itu. Alasan pembuangan orang kuat Najib itu: jawatan ketua penerangan BN tidak wujud, kata Setiausaha BN Selangor, Satim Diman.
Spekulasi perang terbuka di peringkat tertinggi Umno sudah meletus bertambah panas dengan tindakan Ismail tidak menghadiri mesyuarat MKT yang melantik Isham sebagai pengganti Tajuddin.
Mungkin ayat “memulau” atau “boikot” tidak tepat untuk menyifatkan ketidakhadiran Ismail dalam mesyuarat itu, yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi. Namun itulah andaian yang bertebaran, meskipun Ismail boleh memberi alasan beliau menyertai majlis rasmi kerajaan dalam talian ketika itu.
Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa, menjangka Zahid sudah ada senarai pemimpin yang mahu dibuang atau diambil tindakan, selain Tajuddin.
Apa pun, jurang “muafakat” antara Zahid bersama penyokong beliau dengan “tim” Ismail nampaknya semakin melebar.
Mungkin menghidu peluang untuk partinya mengambil kesempatan atas perbalahan Umno, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, tiba-tiba mesra dan selesa kepada idea untuk PRU disegerakan.
“Memang pada dasarnya, kita bersetuju PRU diadakan apabila habis penggal, tetapi kalau dalam keadaan memerlukan untuk membina kekuatan dalam kerajaan, ia perlu disegerakan,” kata Hadi minggu lalu.
Nampaknya, buat kali pertama dalam tempoh lama, beliau senada dengan Zahid dalam hal ini.
Tidak dapat dinafikan, Zahid, dan kalangan pemimpin Umno lain lantang mahu PRU disegerakan.
Itu tidak apa. Gesaan boleh dibuat jika bersandarkan hujah kukuh. Namun adalah membimbangkan sekiranya gesaan bertukar menjadi desakan, dan seterusnya, tekanan dalam bentuk tindakan tertentu supaya perdana menteri akur atau tunduk.
Ini boleh menjejaskan bukan saja kestabilan parti, tetapi juga kestabilan negara.
Justeru, Ismail menjadi tumpuan ramai bagaimana beliau akan mengemudi atau menangani desakan (atau tekanan) “rakan” dalam Umno mengenai “timing” PRU.
Sebagai perdana menteri yang hanya berkedudukan naib presiden dalam parti, misi itu tentunya sukar.
Walaupun ramai melihat jangka hayat politik Ismail sendiri terikat kepada isu berkenaan, namun Ahli Parlimen Bera itu nampaknya tidak tergesa-gesa membuat keputusan.
Beliau sebelum ini mempamerkan kematangan politik apabila mengikat persefahaman kerjasama dengan Pakatan Harapan, sekali gus mengembalikan kestabilan politik pada tahap yang memungkinkan kerajaan melaksanakan program-program mesra rakyat yang tertekan dengan ekonomi gawat dan kos sara hidup tinggi.
Pimpinan dan fokus Ismail turut membantu menjayakan program vaksinasi Covid-19, menurunkan jumlah kes, dan meningkatkan kesiapsiagaan hospital awam menangani gelombang jangkitan baharu sekiranya berlaku.
Bahawa semua ini dicapai dalam jangka waktu yang agak singkat, (Ismail dilantik menjadi perdana menteri Ogos lalu) menampilkan Ismail sebagai pemimpin dengan kelebihan tersendiri dan tidak berpolitik secara melampau seperti Muhyiddin Yassin.
Namun, harus juga diakui, sebagai perdana menteri, Ismail terpaksa memikul tanggungjawab atas nasib rakyat yang terkesan dengan harga barangan melampau, ekonomi merudum berbanding negara jiran, nilai ringgit menjunam, dan pelbagai musibah lagi.
Prestasi menteri-menteri yang berkait dengan urusan ekonomi negara, seperti Tengku Zafrul Aziz (kewangan), Azmin Ali (perdagangan antarabangsa dan industri) dan Mustapa Mohamed (JPM-ekonomi) amat lemah sehinggakan kerajaan dilihat tidak mampu memikirkan strategi atau pendekatan berkesan demi kebajikan rakyat.
Penambahan subsidi (dijangka mencecah lebih RM77 bilion tahun ini) bukan jawapan kepada kesengsaraan rakyat, sebaliknya merumitkan proses pemulihan ekonomi. Itu belum sentuh hutang negara.
Tentunya, Ismail mengambil kira semua ini dalam menentukan waktu sesuai untuk mengadakan PRU. Beliau tentunya mahu dilihat sebagai perdana menteri yang mewarisi dan cuba menyelesaikan masalah ini, bukan penyebabnya.
Patutkah beliau memberi tumpuan membaik pulih ekonomi, meringankan beban rakyat sebaik mungkin, sebelum mengadakan PRU? Langkah itu juga akan menambah baik imej Umno sendiri. Jika itu pilihan Ismail, ia tentunya bermaksud PRU tidak boleh disegerakan – sekali gus bercanggah dengan apa yang dituntut Zahid.
Misi membaiki ekonomi dengan sendirinya tidak mudah. Tidak mudah merombak Kabinet dan membuang “non-performers” dalam sesebuah kerajaan gabungan yang berlainan haluan. Lihat saja isu Zuraida Kamaruddin dan tuntutan Muhyiddin.
Pilihan lain di tangan Ismail ialah mengadakan PRU dengan kadar segera, walaupun keadaan ekonomi rakyat yang terhimpit akan memberi kesan kepada Umno-Barisan Nasional sebagai peneraju kerajaan sekarang.
Imej Umno sendiri yang tercalar dengan pemimpin menghadapi kes-kes rasuah juga boleh menjejaskan peluang parti itu mencapai kemenangan, apatah lagi kemenangan meyakinkan.
Namun, jika PRU yang awal membuahkan kemenangan besar untuk Umno-BN, Ismail dapat membentuk kerajaan lebih stabil dan berwibawa daripada apa yang ada sekarang. Jika menang besar dan beliau kekal PM.
Ismail dalam keadaan tersepit.
Apabila mengikat MoU dengan pembangkang tempoh hari, Ismail dilihat terlepas daripada mulut buaya. Kestabilan politik dapat dipulihkan dan beberapa hasil positif lain dicapai dan rakyat menerimanya sebagai perdana menteri “Keluarga Malaysia”.
Kini beliau berdepan mulut harimau, yakni desakan atau tekanan pimpinan tertentu Umno, termasuk presidennya untuk segerakan PRU dalam keadaan ekonomi dan nasib rakyat yang merudum.
Mampukah beliau mencari formula untuk menanganinya?
Sebagai perdana menteri, Ismail mempunyai kuasa luas atas perkara tertentu. Kebijaksanaan menggunakan kuasa-kuasa ini akan menjadi penentu sama ada Ismail akan terlepas juga daripada mulut harimau. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.