PETALING JAYA: Polis tidak campur tangan berhubung isu dalaman berkaitan pemilihan PKR meskipun terdapat aduan dibuat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Zaliha Mustafa.
Zaliha berkata, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, sekiranya ada aduan dibuat, polis akan menyerahkan kembali perkara berkenaan kepada parti untuk tindakan selanjutnya.
“Kena lihat perlembagaan, sebab pengalaman yang lepas-lepas pun kalau ada anggota parti bawa hal-hal parti pada polis, polis akan cakap ini perkara dalaman dan pulangkan untuk tindakan seterusnya.
“Saya kena lihat balik klausa itu, tapi rakan-rakan peguam cakap memang ada klausa itu,” katanya kepada FMT.
Zaliha berkata demikian mengulas tindakan pelawak dan pengarah filem, Afdlin Shauki yang tewas pemilihan jawatan Ketua PKR Bahagian Setiawangsa, membuat laporan polis antara lain menyatakan JPP gagal mengurus perjalanan pengundian dengan baik.
Dalam laporan dibuat di Balai Polis Pudu 6 Jun lalu, Afdlin yang tewas kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, turut mendakwa banyak penipuan berlaku dalam pemilihan pada hujung bulan lalu itu.
Katanya, laporan polis dibuat terhadap JPP yang didakwanya gagal bertindak terhadap aduan mengenai kelemahan perjalanan pengundian yang diajukan sepanjang pemilihan berlangsung.
Mengulas lanjut, Zaliha menggesa anggota parti untuk membuat aduan berkaitan pemilihan mengikut saluran rasmi parti supaya pihak JPP dapat meneliti perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Memang kita kata kena lalu rasmi, kalau (adu) kat luar ni memang nampak besar. Pegangan kita jelas, kalau aduan tu ‘legit’ kita akan ambil tindakan cuma minta anggota bersabar sebab kita kena teliti satu persatu,” katanya sambil menambah hanya mengetahui laporan polis yang dibuat Afdlin menerusi media.
Sementara itu, menurut sumber dalaman PKR, tidak menjadi kesalahan kepada ahli parti untuk membuat laporan polis bagaimanapun hanya JPP boleh menyelesaikan isu berkaitan pemilihan.
“Urusan sekarang berkaitan pemilihan bawah JPP…Kali ini lembaga disiplin tidak boleh ambil apa-apa tindakan dalam apa-apa urusan JPP, keputusan dah tetapkan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.