PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) memberi nasihat petanda pelaburan “red flag” atau bahaya boleh dikenal pasti sekiranya menjanjikan pulangan keuntungan luar biasa seperti 10% sebulan, tanpa kerugian.
Pengurus BNM Telelink, Jabatan Link dan Pejabat BNM, S Vijayadurai, berkata bentuk pelaburan seumpama itu yang dijanjikan secara talian menjurus kepada perangkap scammer.
“Setiap pelaburan yang datang pasti akan membabitkan untung dan rugi, manakala janji manis dilontarkan kebanyakan scammer dalam talian menjamin pulangan 10% untung adalah sesuatu yang perlu difikirkan secara logik.
“Kalau scammer kata setiap bulan 10% pulangan untung..cubalah hitungkan siapa nak kerja kalau pelaburan menjana untung tanpa kerugian.. tidak ada siapa yang akan kerja jika ada jalan mudah buat duit tanpa bekerja dan ia tiada jaminan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Katanya, banyak kemudahan untuk menyemak penipuan scammer ini termasuk dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
“Kalau rasa sudah semak tetapi masih tidak tahu hendak sahkan kesahihan, atau rasa ragu, sila buat panggilan atau layari laman sesawang rasmi BNM yang menyediakan khidmat ‘live chat’ yang mana kami bersedia membantu anda untuk menyemak daripada menjadi mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Vijayadurai menyatakan kekecewaannya terhadap mangsa penipuan yang dilihat tidak ikhlas menceritakan perkara sebenar selepas menjadi mangsa penipuan.
“Anda perlu bersikap telus dan ikhlas dengan kita.. ramai yang datang kepada kami (BNM) meminta nasihat tetapi apabila disuruh menceritakan perkara sebenar, mereka suka main tarik tali, memberi maklumat sedikit tanpa menyeluruh.
“Sikap tidak berterus terang ini menyulitkan kita untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi membantu mangsa,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.