PETALING JAYA: Persimpangan bertingkat di kawasan perumahan Bandar Saujana Putra, Banting yang dijanjikan siap pada Mei tahun ini ibarat “projek sakit” apabila hanya tiang yang sudah berkulat kelihatan.
Seorang penduduk Syafiq Rahman memberitahu FMT, ekoran kelewatan projek itu, penduduk setempat terpaksa menempuh kesesakan luar biasa setiap hari termasuk perlu keluar seawal 6 pagi untuk menghantar anak ke sekolah walaupun jarak dari kediaman ke situ hanya sekitar 6km.
Dakwanya lagi, ada penduduk Bandar Saujana Putra dibuang kerja kerana kerap lewat ke tempat kerja.
“Setiap hari, ibu bapa mempertaruhkan nyawa anak-anak untuk ke sekolah dengan membonceng motosikal. Lima penumpang kanak-kanak adalah sangat tidak menjamin keselamatan, namun apa pilihan yang kami ada?
“Boleh anda bayangkan untuk melepasi bulatan sahaja terkadang mengambil masa lebih satu jam? Bayangkan, jika anda berada di dalam situasi kecemasan dan terpaksa meredah kesesakan jalan raya yang kami hadapi?” katanya kesal.
Beliau berkata, pertambahan projek pembangunan perumahan di kawasan Bandar Saujana Putra semakin rancak namun perkembangan itu tidak selari dengan kemudahan jalan raya yang ada.
“Jejambat yang sepatutnya siap pada 31 Mei 2022 seperti dijanjikan kini hanya janji kosong. Jika dilihat pada perkembangan projek ini, hanya tiang jejambat kelihatan, namun tiang-tiang tersebut boleh dikatakan sudah berkulat,” katanya.
Lebih mengecewakan apabila aduan beliau di laman Facebook Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengenai kelewatan projek itu didakwa tidak diendahkan malah Syafiq berkata pertanyaannya dipadam dan akaun disekat sepenuhnya.
Pada 12 April 2019, Amirudin mengumumkan peruntukan kira-kira RM60 juta untuk membina jejambat baharu bagi mengatasi masalah kesesakan di kawasan tersebut yang pada awalnya dijangka siap pada September tahun lalu.
Namun, pada 3 Dis tahun lalu, Amirudin dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor berkata projek jejambat itu dijangka mengalami kelewatan dan dijangka siap pada 31 Mei tahun ini ekoran pelaksanaan PKP.
Projek itu bakal memberi manfaat buat kira-kira 65,000 penduduk di situ serta pengguna Lebuh Raya Klang Selatan (SKVE) dan Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), dari arah Bandar Saujana Putra.
Justeru, Syafiq mewakili penduduk Bandar Saujana Putra menggesa pihak berwajib khususnya Menteri Besar agar memandang serius masalah kesesakan trafik luar biasa yang terpaksa dihadapi penduduk setempat khususnya di waktu puncak.
“Pihak berwajib seperti Pejabat SUK Selangor, Pejabat Menteri Besar Selangor, Majlis Daerah Kuala Langat sepatutnya memandang serius perkara ini. Maklumat yang kami terima, surat aduan telah dihantar kepada kerajaan Negeri, namun tiada jawapan dan tindakan susulan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.