`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 5, 2022

Mengapa peniaga Arab bercakap Melayu? Oleh: Nik Hasyudeen

 


Saya baru terima kiriman emel artikel berikut daripada seorang pembaca Blog (terima kasih) berkenaan BAHASA. Saya mempunyai sedikit ulasan pada penghujungnya.
 

Mengapa peniaga Arab bercakap Melayu? Oleh Nik Hasyudeen

Masa pertama kali saya nak ke Makkah, saya adalah belajar sikit-sikit kalimah-kalimah Arab agar mudah berkomunikasi di sana. Namun, bila lalu sahaja di kedai-kedai di sana, peniaga di sana terus menyapa, “Malaysia? Murah-murah”. Sapaan sebegini saya terima di Türkeye, Bangalore, Colombo dan di mana-mana tempat yang ramai pelancong Malaysia. Kita dikenali sebagai orang yang banyak berbelanja.

Nak membeli di sana tak perlu faham bahasa Arab. Mereka telah boleh menguasai bahasa kita dan bahasa-bahasa pelanggan-pelanggan mereka yang lain. Mengapa? Kerana nilai ekonomi di dalam penguasaan bahasa-bahasa berkenaan.

Begitu juga bila MARA nak menghantar saya ke Australia, diadakan ujian bahasa agar saya mampu memamahi pertuturan orang-orang di sana yang menggunakan bahasa Inggeris dengan loghat Aussie. Mengapa kita pula belajar bahasa mereka, kerana melalui bahasa itu kita boleh mengutip ilmu.

Di satu ketika dahulu, pemikir-pemikir Greek telah menjadi rujukan kepada pelbagai bangsa di dunia kerana falsafah-falsafah mereka. Nama-nama  seperti Plato dan Aristotle disebut-sebut sehingga dikatakan pemikiran mereka menyerap masuk sehingga ke dalam agamaBagaimana pemikiran-pemikiran sebegini boleh tersebar jika tidak melalui bahasa?

Pada pandangan saya yang bodoh dan bukan profesor yang tersohor ni, bahasa  menjadi mulia jika melaluinya manusia boleh menimba ilmu, belajar peradaban dan juga berdagang. Ini bermakna masyarakat yang menggunakan sesuatu bahasa mestilah mengamalkan peradaban yang tinggi, banyak ilmu-ilmu baharu yang dicungkil melalui bahasa berkenaan dan menguasai bahasa berkenaan akan membuka peluang ekonomi yang lebih luas.

Kita kena menjadi menarik dahulu dan mampu menawarkan sesuatu yang tidak wujud di dalam bahasa-bahasa lain sekiranya kita menghormati bahasa kita dan mahu ianya tersebar.

  • Orang lain tidak perlu belajar bahasa Melayu untuk mengetahui apa yang berlaku mengenai 1MDB, salah satu jenayah kewangan yang terbesar di dunia. 
  • Yang pertama, ianya bukanlah mempunyai nilai peradaban yang tinggi kerana mengikut apa yang dibicarakan di mahkamah, ramai orang yang gagal menjalankan amanah yang mereka pikul dengan jujur. 
  • Kedua banyak buku-buku dan penulisan berkenaan 1MDB bukannya di dalam bahasa Melayu. 
  • Bersepah di dalam bahasa Inggeris. 
  • Ketiga, 1MDB bukannya penjana ekonomi negara tetapi sebaliknya menambah hutang negara pula.

Sebagaimana perkara-perkara lain di dalam kehidupan, kita kena ada perkara-perkara yang orang lain tak ada dan menjadikan mereka lebih bernilai sebelum mereka mahu mendampingi kita. Sekarang ini pendidikan di Jerman percuma. Semua orang tahu Jerman mempunyai teknologi tinggi. Jadi, ramai ibubapa yang mendedahkan anak-anak mereka kepada bahasa Jerman untuk dihantar belajar di sana.

Ego dan emosi tidak akan menjadikan kita menarik bagi menjadikan bahasa kita popular. Kena ada nilai istimewa yang akan menjadikan ianya bernilai bukan sahaja di mata kita sendiri tetapi di mata orang lain juga. Di Silicon Valley, mereka mementingkan teknologi dan produk yang mampu diwujudkan, bukannya tata bahasa Inggeris yang digunakan. Rojak pun tak apa jika produk atau solusi yang dilahirkan akan menjadi jualan berbilion dollar. Namun, orang yang nak ke Silicon Valley kena ada asas bahasa Inggeris.

Orang Jepun boleh menyampaikan ucapan di dalam bahasa Jepun kerana orang luar tetap mencari peluang di sana kerana mereka merupakan ekonomi terbesar selepas Amerika dan China. Jangan terlepas pandang hakikat itu. Jangan pilih-pilih fakta yang memihak kepada hujah kita sahaja dan mengabaikan apa yang sebenarnya menjadikan bahasa mereka ada nilai antarabangsa.

Orang dari negara China dan Jepun apabila mereka berucap di dalam bahasa Inggeris di dalam persidangan antarabangsa bukanlah cemerlang sangat. Kita jauh lebih baik dari mereka. Namun, suara siapa yang didengari dan diberikan perhatian lebih, kita atau mereka. Tentunya pihak yang ada kuasa ekonomi, peradaban dan ilmu akan lebih berpengaruh dari pihak yang jual kangkung sahaja.

My Comments : 

India adalah kuasa raksasa dunia dalam mengekspot perisian computer software (melebihi US$210 Billion atau RM920 Billion). Tidak ada negara lain dalam dunia ini yang boleh menandingi India  dalam mengekspot perisian computer software. Dan 100% daripada industri computer software atau ICT di India adalah dalam bahasa Inggeris. Bukan dalam bahasa Tamil atau bahasa Kannada (dua bahasa utama di Bangalore). 

Negeri Tamil Nadu sendiri menguasai 25% daripada keseluruhan industry ICT India. Tanpa kebolehan berbahasa Inggeris tentu sekali Bangalore dan Tamil Nadu di India tidak boleh jadi pengekspot computer software yang terbesar di dunia. 

Tetapi bahasa Tamil adalah bahasa yang tertua sekali dalam dunia. Empayar Tamil Chola sahaja telah wujud selama lebih 1600 tahun (<300 BC hingga 1300 AD) dan menjadi empayar yang bertahan lama sekali dalam sejarah manusia (yang kedua adalah Empayar Rom yang bertahan kurang lebih selama 1300 tahun).  

Kawasan Empayar Chola termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, Filipina Selatan dan Indo-China di mana lingua francanya pada zaman itu adalah bahasa Tamil dengan penggunaan Sanskrit dalam upacara keagamaan dan bahasa istana. Nama "Raja Chulan" seperti di Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur contohnya  ikuti nama "Raja-Raja Cholan" ia itu seorang raja empayar Chola yang terkenal. Chulia Street di GeorgeTown, Pulau Pinang juga merujuk kepada "Chola". 

(Untuk perbandingan dan fahaman Tuan-Tuan sahaja kesemua perkataan yang diwarnakan merah muda (pink colour) di atas berasal daripada bahasa Tamil atau Sanskrit. Perkataan "Melayu" pun sangat dekat dengan perkatan Tamil "malai-uur". Malai = gunung / bukit. Uur = negeri / tempat)

Penyerapan beribu perkataan bahasa Tamil dan Sanskrit ke dalam bahasa Melayu tidak berlaku dalam sehari, seminggu, sebulan, setahun atau seratus tahun. Ia telah mengambi masa berkurun-kurun, warisan dan peninggalan daripada kehadhiran Empayar Chola di rantau ini selama lebih 1600 tahun.

Walaupun demikian sejarahnya tetapi pada hari ini bahasa Tamil tidak boleh menjadi bahasa dunia. Bahasa Tamil bukan bahasa rasmi di India pun. Dan industri IT di Tamil Nadu bergantung 100% kepada bahasa inggeris. 

Antara sebab utama ialah bahasa Tamil masih tidak mampu menjelaskan 'complex scientific concepts' atau 'konsep yang rumit' terutama sekali bagi memahami konsep-konsep moden sains dan teknoloji. Bukan tak boleh tetapi masih belum lagi.

Contohnya CNC machine (computer numerically controlled machine) atau 'linear programming algorithm'  bukan saja kata nama (nouns) tetapi mempunyai pengertian yang khusus dan luas. Jadi industri ICT di Tamil Nadu dan Bangalore telah memilih untuk menggunakan bahasa inggeris sahaja untuk mempercepatkan proses memajukan industri ICT mereka. 

Saya rasa tidak mustahil jika kita gunakan bahasa Iban di Sarawak (contohnya) atau bahasa Orang Asli Senoi untuk majukan industri ICT tetapi ia mungkin akan mengambil masa yang sangat lama.

Ramai orang tidak tahu bahawa kesemua fakulti perubatan di IPTA dalam negara kita (UM, USM, UKM, UITM,  UIAM, USIM dsbnya) menggunakan bahasa Inggeris sahaja. Mereka pernah cuba mengajar ilmu perubatan dalam bahasa Melayu tetapi gagal, sebab bahasa Melayu tidak mempunyai vokabulari atau perkataan yang cukup yang boleh digunakan untuk mengajar dan menjelaskan ilmu perubatan moden. Jadi kesemua fakulti perubatan di IPTA dalam negara kita menggunakan bahasa Inggeris sahaja.

Tetapi apa yang menjadi misteri ialah kenapa sekolah asrama penuh dalam negara kita yang dibiayai Kerajaan menggunakan bahasa Inggeris sahaja padahal semua sekolah kebangsaan pula mengajar menggunakan bahasa Melayu? 

Dan yang lebih misteri ialah kenapa pada setiap tahun beratus-ratus perkataan Inggeris diimpot ke dalam kamus bahasa Melayu? Bahasa Melayu pun berkembang tetapi serupa mee segera yang direndam dalam air panas.

Angkatan tentera pejuang bahasa Melayu pula seronok sebab mereka boleh merebut peruntukan berpuluh juta Ringgit daripada Kerajaan untuk kontrak update dan mencetak edisi terbaru kamus Melayu dengan perkataan impot bahasa Inggeris yang latest itu.

Seperti mana di tulis oleh sdra Nik Hasyudin di atas bahasa Inggeris sekarang menjadi bahasa antarabangsa hampir dalam semua bidang - pengajian di universiti, sebagai bahasa ilmu, bahasa perdagangan dan ekonomi dunia, bahasa media antarabangsa, bahasa utama dalam Internet, bahasa undang-undang antarabangsa dan banyak lagi.   
 
Jangan kita tertinggal sampan. Waris-waris Raja-Raja Chola pun sudah bercakap Inggeris dah.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.