`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, June 13, 2022

Penjawat awam berpendapatan rendah turut terbeban kenaikan harga barangan

 

Cuepacs menggesa kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,800 untuk sektor awam dan sistem saraan baharu yang lebih berkesan untuk membantu penjawat awam berpendapatan rendah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Selain golongan B40 dan M40, penjawat awam berpendapatan rendah di Lembah Klang turut terasa “bahang” kenaikan harga barangan kerana gaji mereka tidak dapat menampung kenaikan kos sara hidup.

Seorang penjawat awam yang hanya ingin dikenali sebagai Ain berkata, terdapat kakitangan kerajaan yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah seperti Gred 19 yang hanya menerima gaji minimum bermula RM1,300 sebulan, tidak termasuk elaun lain.

Walaupun kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei lalu, tetapi bagi penjawat awam Gred 19 yang berpendapatan rendah seperti dirinya, mereka tidak menerima kenaikan gaji sedemikian.

Beliau berkata, penjawat awam daripada kumpulan sokongan seperti kerani juga terbeban dengan kenaikan harga barangan, contohnya nasi ayam yang dijual di tempat kerjanya yang berharga RM5 dahulu, kini dinaikkan kepada RM6.50.

“Maksudnya, jika dulu, perbelanjaan RM200 sebulan untuk makan di tempat kerja, tetapi sekarang meningkat kepada lebih RM400,” luahnya kepada FMT.

Oleh itu, Ain berharap kerajaan menaikkan gaji penjawat awam berpendapatan rendah supaya setara dengan kenaikan harga barangan ketika ini.

“Kami pun sedar diri, kebanyakan penjawat awam golongan sokongan Gred 19 ini hanya memiliki SPM. Tetapi, sekurang-kurangnya kenaikan gaji oleh kerajaan juga dapat membantu menampung kos bahan makanan yang mahal masa ini,” katanya.

Seorang lagi penjawat awam yang hanya ingin dikenali sebagai Hanis berkata, bukan semua penjawat awam berpendapatan sederhana atau tinggi kerana ada rakannya daripada Gred 19 yang merupakan pencari nafkah tunggal dalam keluarga mereka.

“Bukan semua penjawat awam hidup senang. Ada juga yang dalam kategori B40, seperti Gred 29 dengan gaji permulaan dalam RM1,500 dan Gred 19 yang bermula dengan gaji RM1,300.

“Jadi, seperti mereka yang baru menjadi penjawat awam, jika seorang sahaja ahli keluarga yang bekerja di Lembah Klang memang mencabar,” katanya.

Justeru, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan melaksanakan tiga langkah penting untuk membantu penjawat awam berpendapatan rendah yang terkesan dengan kenaikan harga barangan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, tiga langkah itu ialah gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,800, melaksanakan dua tahap kenaikan gaji tahunan (KGT) dan sistem saraan baharu yang lebih berkesan.

Katanya, pelaksanaan gaji minimum RM1,800 dalam sektor awam akan diikuti sektor swasta yang boleh menyebabkan kadar gaji minimum dilaksanakan secara menyeluruh.

Beliau berkata, sistem saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan di sektor perkhidmatan awam sejak 2002, kini berusia kira-kira 20 tahun dan dilihat tidak berkesan dalam membantu penjawat awam hidup dalam situasi semasa.

Beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan Cuepacs untuk memperkenalkan SSM baharu yang termasuk pelaksanaan gaji minimum, KGT, kenaikan pangkat dan gred bagi memberi pendapatan lebih selesa dan adil buat penjawat awam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.