Baru-baru ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, yang juga ADUN Air Putih menyelar kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Kali ini, Lim menggunakan kenaikan kos sara hidup untuk menuduh kerajaan Ismail sebagai muflis dasar atau tindakan bagi mengatasi penderitaan rakyat dan ahli perniagaan.
“Pelabur asing tahu inilah kerajaan yang tak ada dasar, tak ada pelan,” antara kata-kata pedas dilontar bekas menteri kewangan itu kepada Ismail dan Jemaah Menterinya.
Berdasarkan cemuhan terbuka itu, seseorang boleh membuat rumusan DAP menolak kepemimpinan Ismail.
Malah berdasarkan kenyataan itu, Lim dan pimpinan DAP dilihat mahu kerajaan Ismail ‘berambus’ secepat mungkin, untuk memberi laluan kepada sebuah kerajaan baharu dilantik demi membela rakyat.
Sebagai pembangkang, pemimpin DAP termasuk Lim tentunya mahu menarik perhatian rakyat terhadap apa yang dilihat mereka sebagai, kelemahan ketara kerajaan sekarang.
Tetapi dalam keghairahan menonjolkan kelemahan kerajaan Ismail, DAP mendedahkan sifat talam dua muka sendiri dan politik bercanggah lagi tidak konsisten.
Semalam, selepas Lim menyerang kerajaan Ismail sebagai tidak berkesan dan tidak peduli rakyat, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, tampil menyatakan Ismail harus kekal sebagai perdana menteri dan tidak ada keperluan PRU15 disegerakan.
Ramasamy berkata Ismail perlu menunjukkan ‘siapa bos’ sebenar dengan menolak desakan Umno mahu PRU disegerakan.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, pula sebelum ini menawar untuk melanjutkan MoU kerjasama yang diikat PH dengan kerajaan Ismail sebelum ini, dengan syarat PRU tidak disegerakan.
Justeru, timbul keadaan DAP sendiri kabur dengan apa yang ia mahu. Kerajaan sekarang dihentam dan dipersalah atas kos sara hidup tinggi, ringgit lemah, dan macam-macam lagi.
Tetapi pada masa sama, kata pemimpin-pemimpin DAP, Ismail harus kekal sebagai perdana menteri dan PRU tidak perlu diawalkan.
Ismail tentu tahu DAP bukannya menyokong beliau, tetapi hanya mahukan masa cukup untuk PH mengemaskini dan memperkuatkan semula jenteranya sebelum PRU diadakan.
Kekalahan teruk PKR, DAP, dan Amanah pada PRN Johor, Melaka, dan Sarawak menjadi petunjuk nasib yang bakal dialami PH sekiranya PRU diadakan dalam tempoh terdekat – sesuatu yang diinginkan oleh Umno sendiri yang menang besar di Melaka dan Johor.
Justeru, PH memerlukan masa untuk bangkit dari kekalahan demi membuka peluang menawan semula Putrajaya. Kerana itu, Ismail didesak untuk tidak menyegerakan PRU.
Pada masa sama, pemimpin seperti Lim, Ramasamy, dan Loke perlu terus menyerang Ismail dan kerajaannya untuk menyemai dan menyuburkan rasa benci pengundi terhadap Umno dan BN sebagai persiapan PRU.
Taktik yang mudah, malah mungkin berkesan, sekiranya pengundi tidak dapat mengesan kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh pemimpin seperti Lim dan Ramasamy.
Namun, pengundi dan masyarakat umumnya jauh lebih bijak daripada jangkaan ahli politik kita.
Mereka juga dapat melihat pembangkang kurang atau tidak menggunakan MoU ‘kerjasama’ untuk menawarkan idea membaiki kemelut kos sara hidup kepada Putrajaya.
Memang senang untuk membidas dan mengutuk tanpa solusi dan nampaknya ini jalan mudah yang diambil Lim dan rakan-rakan.
Lim kelmarin mendabik dada membandingkan kos sara hidup sekarang dengan rekod ‘cemerlang’ pemerintahan PH selama 22 bulan selepas menang PRU2018.
Namun ‘kejayaan’ kerajaan PH itu amat dipertikaikan khususnya dalam aspek melonjakkan ekonomi, memastikan kestabilan politik, dan membela golongan terpinggir. Ringkasnya indah khabar dari rupa.
Dalam membidas Ismail berhubung kos sara hidup, Lim dan rakan-rakan menutup mata kepada faktor luaran, khususnya perang di Ukraine dan wabak Covid-19 mencengkam semula China serta dasar kewangan Rizab Persekutuan AS.
Sudah tentu kerajaan tidak boleh menyalahkan faktor luaran semata-mata, sebaliknya perlu menguruskan perbelanjaan awam dengan lebih baik.
Dasar dan penguatkuasaan harga kawalan barangan juga lemah dan harus diperbaiki. Negara memerlukan hala tuju dan dasar-dasar jelas untuk memulihkan keyakinan pelabur dan rakyat.
Semuanya hanya boleh dicapai dengan pembaharuan atau ‘reformasi’ institusi awam.
Namun, ia hanya boleh dilakukan oleh sebuah kerajaan yang didirikan atas mandat rakyat, justeru PRU15 harus disegerakan.
Jika PH ikhlas, maka mereka harus tampil membatalkan MoU dengan kerajaan dan menggesa PRU diadakan segera demi kebaikan rakyat dan masa depan negara.
Hentikan bicara lidah bercabang ini. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.