Baru-baru ini, Doodle di halaman utama Google telah memberikan penghormatan kepada Dr Lim Boo Liat, seorang ahli zoologi dan mamalia terkemuka dalam bidangnya. Lim adalah salah seorang pendiri Zoo Negara dan secara prolifik mengarang penerbitan ilmiah tentang mamalia dan parasitologi. Mendiang juga mendedikasikan kariernya yang luar biasa itu, untuk memulihara dan menerokai aneka resam biologi di Malaysia.
Perjalanan kerja Lim memang hebat. Bagaimanapun, beliau bermula pada 1952, dengan hanya sebagai pembantu makmal dan kemudian ikut serta dalam ekspedisi saintifik. Meskipun hanya seorang pembantu makmal, sepanjang 1950-an dan 1960-an, beliau menulis tanpa henti kertas-kertas ilmiah seputar haiwan vertebrata. Ini membolehkan beliau kemudiannya mengetuai Bahagian Ekologi Perubatan yang baharu diasaskan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Dalam tempoh tersebut juga, kajian Lim diterbitkan dalam Jurnal Zoologi, Persatuan Zoologi London pada 1967. Ini beliau lakukan jauh sebelum dunia akademik kita mengenal penerbitan berimpak di jurnal berindeks tinggi.
Setelah menunjukkan minat dan kerajinan mendalam, Lim menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, dan sarjana yang membolehkan beliau menjadi seorang zoologis sebenar pada 1972 dan meneruskan penyeliaan Bahagian Ekologi Perubatan. Pada 1977, Lim menerima PhD dalam bidang Zoologi dari Universiti Sains Malaysia. Beliau sempat bekerja dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Indonesia, mengetuai Unit Penyelidikan Kawalan Biologi Vektor sehingga dipertanggungjawabkan menyelidik subjek seperti wabak, kawalan malaria dan tikus. Beliau melakukannya sehinggalah persaraannya pada 1987.
Banyak yang telah ditulis tentang Lim, khusus mengenai sumbangan besar beliau dalam dunia “haiwan”. Akan tetapi, satu yang sungguh menarik minat saya ialah bagaimana beliau turun padang masuk ke hutan bersama-sama Orang Asli, bersahabat baik dengan mereka dan merakamkan kisah-kisah haiwan Orang Asli yang sangat berguna untuk mereka di dalam bidang antropologi dan sastera lisan. Lim melakukannya dengan jujur.
Beliau sebagai misalan tidak mendakwa kutipan kisah-kisah dongeng dan asal-muasal haiwan tersebut sebagai usaha beliau seorang. Dalam semua penulisan dan penerbitannya, jika relevan, Lim membawa sama nama Orang Asli yang menolongnya. Salah seorang yang menjadi sahabat sehidup semati Lim dari kalangan Orang Asli tidak lain tidak bukan adalah Sipang Anak Ecoin.
Beliau berkenalan dengan Sipang pada 1947 sejak bekerja sebagai pembantu makmal lagi. Sipang adalah Orang Asli suku Temuan, dan asalnya diupah untuk membantu menangkap mamalia kecil di Hutan Simpan Bukit Lagong di Kepong. Kebetulan Sipang adalah menantu kepada seorang lagi kawan baik Lim, seorang Batin bernama Kassaing bin Alang dari Janda Baik, Pahang.
Rakaman pengalaman Lim dan Sipang sungguh indah. Lim pernah menyatakan sumbangan Sipang amat besar dalam kemaraan kariernya. Bahkan bantuan Sipang telah memahamkan kita kepada banyak ehwal zoologi di negara ini.
Pada 2004, Lim menulis dalam prakata buku “Kisah-kisah Haiwan Orang Asli” perihal Sipang begini:
“Kehadiran beliau di dalam pasukan tersebut merupakan satu kegembiraan. Beliau bukan sahaja guru sejarah alam semula jadi, malah sebagai pelindung saya di dalam hutan. Kami telah menemui banyak perkara di dalam hutan dan apabila seekor haiwan ditangkap, beliau akan sentiasa mengaitkan suatu cerita berkenaan haiwan tersebut, di samping sentiasa bersedia untuk memberi tunjuk ajar kepada anggota pasukan lain ‘seni’ mengendalikan spesimen hidup. Begitulah caranya pada ketika itu, di mana generasi lama Orang Asli merupakan pelindung kepada haiwan di hutan, menangkap hanya haiwan yang sering ditemui dan pada masa yang sama melindungi haiwan yang jarang ditemui.”
Lim menyifatkan Sipang dan Minah bukan sahaja ahli alam semula jadi, sahabat, bahkan merujuk mereka sebagai guru. Satu yang jarang-jarang terjadi waktu itu kerana lebih ramai yang suka untuk menyudutkan Orang Asli.
Di dalam buku “Kisah-kisah Haiwan Orang Asli”, Lim menghimpunkan pelbagai kisah cerita rakyat tentang haiwan di dalam hutan yang sangat bermanfaat dan kaya demi memahami minda dan cara fikir Orang Asli, khusus dari suku Temuan. Untuk menjadikan cerita itu tambah menarik, Lim yang merakam cerita lisan oleh Sipang tersebut akan menjelaskan secara saintifik nama dan peranan haiwan tersebut. Membacanya memahamkan kita kebesaran Yang Maha Kuasa yang telah secara hebat menjadikan binatang-binatang ini dengan fungsinya yang pelbagai.
Sebagai contoh, kita mendapati dalam sumber daya fikir Orang Asli Temuan, raja segala haiwan adalah tikus bulan (moonrat) yang nama saintifiknya Echinosorex gymnurus. Tikus bulan ternyata bukan harimau (yang kita sangkakan adalah raja segala binatang), wajahnya hodoh dan kakinya dikatakan seperti kaki itik dengan bulu kasar dan hitam, serta meremang.
Dalam tradisi oral Orang Asli, tikus bulan adalah pemerintah yang sombong, bongkak dan memerintah secara kejam. Untuk mencapai hasratnya melihat dunia, tikus bulan memerintahkan rakyatnya membuatkan sebuah perahu dari balak. Akan tetapi, perangai tikus bulan memang tidaklah semenggah, yang mana balak besar dan sudah ditukang menjadi sampan cantik itu dirunguti sebagai terlalu besar, dan dituntut agar dikecilkan sedikit, sesuai dengan saiznya.
Sampan yang besar untuk tikus bulan itu akhirnya digerigit menjadi kecil dan itu pun tikus bulan masih tidak berpuas hati. Oleh sebab rakyatnya terlalu penat dan sakit jiwa dengan perangai tikus bulan yang tidak senonoh itu, mereka telah bertindak memberontak dengan muntah seorang sedikit di atas badan tikus bulan sehingga ia menjadi terlalu busuk dan hamis.
Sejak itu, tikus bulan melarikan diri ke dalam belukar yang lebih semak kerana aib dengan baunya sendiri. Lim merakamkan pengajaran yang diperolehi dari kisah haiwan ini. Yang mana, dari sudut pandang Orang Asli, cerita ini membawa pelajaran bahawa “kita boleh menipu semua orang pada ketikanya; kita boleh menipu sesetengah orang sepanjang masa, tetapi kita tidak boleh menipu semua orang sepanjang masa”.
Apa yang lebih mengagumkan ialah, di sebalik kisah haiwan yang dihimpun Lim daripada mulut Sipang dan isterinya, Lim memberikan keterangan sains tentang tikus bulan. Iaitu ia adalah sejenis insektivor terbesar di Malaysia, dan bagaimana ia mempunyai dua kelenjar di dubur yang mengeluarkan bau bawang busuk. Dengan bantuan Orang Asli, Lim menangkapnya dan membawa pulang ke makmal. Di dalam kurungan, Lim cuba memahami bagaimana tikus bulan makan ikan dan kadangkala buah-buahan dan boleh hidup selama tujuh tahun. Sebagai raja, ia mengeluarkan bau busuk apabila marah atau terancam.
Lim tidak berhenti setakat itu dan menjelaskan betapa tikus bulan kerjanya merosakkan ekonomi dengan menjahanamkan pokok getah di ladang serta membawa sama cacing dan darah protozoa yang tiada kepentingan.
Dua puluh enam kisah haiwan yang direkodkan Lim berdasarkan persahabatannya dengan Sipang dan Minah memahamkan kepada kita daya fikir Orang Asli yang canggih dan hubungan akrab mereka dengan alam. Tidaklah menghairankan sekiranya Lim diberi jolokan zoologis terkemuka negara. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.