`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, June 24, 2022

Salah guna logo halal, KPDNHEP rampas biskut lebih RM900,000

 

Pengarah KPDNHEP Kedah Affendi Rajini Kanth berkata serbuan mendapati hampir semua produk siap dibungkus dan dikotakkan masih diletakkan dengan logo halal Jakim. (Gambar KPDNHEP)

PETALING JAYA: Sebanyak 20,193 kotak biskut bernilai RM906,609 dirampas kerana didapati menyalahgunakan logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sebuah kilang di Bukit Pinang, Alor Setar, Kedah, semalam.

Rampas itu dilakukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah dalam serbuan 11 pagi.

Pengarah KPDNHEP Kedah, Affendi Rajini Kanth, berkata ia susulan maklumat daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) berhubung Pensijilan Halal Malaysia syarikat itu sudah ditarik balik sejak Mac lalu.

Katanya, penarikan balik itu dibuat kerana syarikat melanggar prosedur Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang ditetapkan.

“Ini menyebabkan syarikat tidak boleh menggunakan logo halal Jakim pada semua produk yang dikeluarkan di kilang itu.

“Dalam pemeriksaan itu, pasukan serbuan mendapati hampir semua produk yang siap dibungkus dan dikotakkan masih diletakkan dengan logo halal Jakim.

“Tindakan itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Affendi berkata, semua produk yang sudah dilabelkan dengan logo halal Jakim disita untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan makluman lisan pengurusan syarikat, syarikat itu sudah beroperasi lebih 10 tahun. Hasil siasatan mendapati, produk keluaran syarikat terbabit yang kebanyakannya adalah biskut sudah diedarkan untuk pasaran di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan yang pertama. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.