`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 12, 2022

‘Tak ada lagi hukuman menggerunkan’, kata ahli keluarga kes bunuh Sosilawati

 

Pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, yang berlaku pada Sept 2010 mengejutkan negara dengan tiga dalang pembunuh itu dijatuhi hukuman mati mandatori pada 2017. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ahli keluarga kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, kesal dengan tindakan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori termasuk jenayah bunuh.

Anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, berkata sebagai ahli keluarga mangsa jenayah, beliau menganggap keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori sebagai tidak wajar.

Katanya, sebagai ahli keluarga mangsa pembunuhan kejam yang sudah mendapat keputusan mahkamah, beliau tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan memansuhkan hukuman sedemikian.

“Saya juga percaya mana-mana keluarga mangsa yang pernah mengalami situasi sama juga tidak bersetuju dengan perkara ini. Ia terlalu sukar untuk diungkap dengan perkataan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

“Hanya kami yang merasai sahaja yang faham akan kesedihan, keperitan, kesengsaraan dan trauma kesan dari kehilangan orang tersayang, apatah lagi mereka yang teraniaya dengan perbuatan kejam itu adalah tempat kami bergantung,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pembunuhan Sosilawati berlaku pada Sept 2010 dan selepas melalui proses perbicaraan yang mengambil masa bertahun, akhirnya tiga dalang pembunuhan dijatuhi hukuman mati mandatori pada 2017.

Erni ketika mengulas lanjut, berkata penjenayah yang tergamak melakukan pembunuhan kejam patut dijatuhkan hukuman berat, setimpal dengan perbuatan mereka agar menjadi pengajaran kepada masyarakat.

“Bagaimanapun, saya yakin pihak kerajaan sudah mengkaji terlebih dahulu cadangan pemansuhan ini sebelum ia dilaksanakan dan pastinya kerajaan mempunyai alasan tersendiri.

“Jenayah tetap akan wujud dalam apa keadaan sekalipun, namun ia akan lebih meruncing sekiranya hukuman yang dikenakan tidak setimpal dan tidak menggerunkan mereka yang berhasrat melakukan sesuatu jenayah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau meminta kerajaan meneliti dan memperhalusi keperluan untuk mengekalkan hukuman mati mandatori untuk beberapa kes jenayah, terutama jenayah bunuh.

“Sekiranya undang-undang baharu dilaksanakan kelak dan hukuman mati mandatori tidak lagi dilaksanakan, saya berharap ia tidak terpakai dengan keputusan hukuman yang sudah diputuskan mahkamah sebelum ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.