`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 15, 2022

Tak mustahil parti komponen, mesra GRS bertembung pada PRU15, kata penganalisis

 

Penganalisis politik berkata, walaupun GRS dilihat meyakinkan, namun ia bukan jaminan tiada pertembungan sesama sendiri kerana kemampuannya dalam perkara itu belum dapat dipastikan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Dua penganalisis politik berpendapat, tidak mustahil parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti mesra pakatan baharu itu bertembung sesama sendiri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) jika permuafakatan antara mereka tidak diperhalusi.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, walaupun GRS adalah entiti politik sah yang dilihat meyakinkan, namun ia bukan jaminan tiada pertembungan sesama sendiri kerana kemampuannya dalam perkara itu belum dapat dipastikan.

“Hal ini kerana setiap calon dan parti berasa mereka layak, popular dan ‘winnable’, tambahan pula bagi kerusi di kawasan Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus di mana ketika pilihan raya negeri (PRN) lalu menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) saling bertembung di beberapa kerusi,” katanya kepada FMT.

Untuk mengelakkan pertembungan seperti PRN lalu katanya, GRS perlu berunding bagi memastikan setiap parti mempunyai peluang kemenangan dan risiko kekalahan yang seimbang.

Awang Azman Awang Pawi.

“Pembahagian jumlah kerusi yang realistik dan sesuai dengan keahlian serta kekuatan parti bagi sesuatu tempat perlu diberikan perhatian utama.

“Selain itu, sikap berbalah secara terbuka di media perlu dielakkan GRS agar tidak dipandang negatif oleh pengundi dan mempengaruhi kepercayaan sentimen mereka.”

Katanya, keadaan mungkin bertambah buruk jika GRS dan BN tidak sehaluan pada PRU15 kerana ia mungkin membentuk gelombang penolakan terhadap parti dan blok mereka sendiri.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara juga senada jika GRS dan BN tidak sehaluan, akan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya empat blok politik, iaitu GRS, BN, Pakatan Harapan dan Warisan.

Tony Paridi Bagang.

Katanya, isu pembahagian kerusi bakal menjadi “ujian litmus” buat GRS dan parti komponen gabungan itu perlu mencapai permuafakatan politik untuk mengelakkan pertembungan yang mungkin memecahkan undi.

GRS diwujudkan sebelum PRN Sabah pada 2020 dan dibarisi Perikatan Nasional (PN), BN dan PBS ketika itu. Tetapi berlaku pertembungan sesama mereka di lebih 15 kerusi, dengan ada kerusi membabitkan tiga parti daripada gabungan itu.

Mac lalu, GRS didaftarkan sebagai entiti politik baharu tanpa penyertaan BN dan PAS. Gabungan itu secara rasminya disertai Bersatu, PBS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan terbaharu Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) turut memohon untuk menyertai GRS, namun ia masih dipertimbangkan sehingga kini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.