Ada seorang rakan pengarang yang semacam menanti-nanti kalau-kalau saya akan mengundang atau mengajaknya ke rumah. Akan tetapi undangan itu tidak saya hulurkan sampai saat ini. Rakan itu semacam mengeluh dan mengisyaratkan kepada saya, betapa ‘berahsia’ atau barangkali, istilah sekarang, ‘tidak inklusifnya’ saya.
Sebetulnya saya pernah mengajak dua orang pengarang ke rumah. Dan sepulang dari rumah saya, mereka mengeluarkan belati tajam dan panjang lalu menikam saya berkali-kali di belakang tengkuk. Demikian jahanamnya undangan bertukar menjadi pengkhianatan.
Saya hanya akan membawa orang yang betul-betul saya hargai dan nilai sebagai sebahagian daripada diri. Oleh sebab itu, untuk undangan pengarang yang pertama; saya bukan sahaja menghulurkan jemputan mulut dan mesej SMS – saya bahkan turun ke stesen MRT untuk mengambil dia dan isteri – ke tempat kami. Sebagai tuan rumah yang betul menghargai tetamu diundang ke rumah, saya memilih hari yang sesuai untuk meladeninya sepuas hati.
Bukan sahaja saya melumur diri bau ikan dan ayam dengan turun ke pasar, kami memasak dengan hati penuh kemudiannya. Di rumah, penulis itu dan isterinya duduk berlamaan dengan saya dan kami bersembang berbual jenuh. Macam-macam yang dibualkan dari soal sastera, penerbitan, kiri kanan orang dan kepercayaan yang aneka warna.
Bila agak-agak mereka sudah keletihan, saya menawarkan untuk menghantar tetamu ke tempat mereka untuk kembali. Dia pun siap melambai-lambai dan menghantar mesej betapa terharunya dia dilayani.
Tidak lama kemudian, pengarang itu menghunus pisau berkilat dan merodok rusuk saya.
Hal demikian terjadi lagi. Banyak tahun setelah peristiwa pertama. Saya dengan penuh hati-hati menimbang sama ada patut atau tidaknya untuk dia dan isteri diundang ke rumah. Tambahan pula saya tidak mahu terlihat sombong. Berkali-kali bahkan si pengarang mengutus mesej untuk bertandang. Itu membuatkan saya benar-benar serba salah. Apakah wajar atau tidak saya menerimanya?
Saya akhirnya membuat keputusan seperti Saidina Ali – melepaskan Ibnu Muljam pada hari dia kelihatan jinak – kerana masa depan iaitu tatkala dia menjadi buas dan liar belum lagi terjadi. Maksud saya, meskipun kelak dia akan berkhianat; Saidina Ali hanya dapat menghakimi Ibnu Muljam pada ketikanya itu. Bukan pada ketika yang belum berlaku.
Meskipun saya percaya tentu sahaja Saidina Ali yang wali itu seamat kasyaf dan tahu apa yang bakal menimpanya. Banyak tahun kemudian, Ibnu Muljam menghunjam parang di kepala Khalifah keempat itu ketika baginda sedang memimpin sembahyang subuh di Masjid Kufah.
Pengarang kedua dan isterinya (dan seorang rakan mereka) saya bawa ke rumah. Mereka dijamu, bual kami bertele. Pelbagai inti kandungan terbit dari rahim fikir kami. Macam-macam hal yang bernas dan tidak, telah diapungkan sekian jam tatkala bersembang itu. Saya memang hanya menerima tetamu untuk berbincang panjang. Jarang tetamu bersingkat pendek di ruang tamu kediaman saya. Di akhir kunjungan saya menunjukkan beberapa buku yang saya hargai. Kami bergambar dan tertawa. Ketika itu serasa hangat sekali.
Tidak lama setelah itu – menghairankan sekali – dia menyucuk saya kanan dan kiri, di tengah dan di sisi. Saya berhasrat mengabaikan. Boleh jadi ada orang yang memang suka mengeluarkan kuku seperti kucing belaan dan kadang-kala mencakar-cakar tempat yang ia suka. Kucing tidak mencakar tempat yang ia asing. Jadi saya menganggap saya masih dihormati. Lagipun, bukankah saya pernah menjadi gurunya?
Pada satu saat yang sungguh canggung, saya bahkan membawa ibu dan saudara mara saya ke sebuah acara anjuran pengarang ini. Demikianlah saya cuba memberi kesempatan dan pertimbangan. Akan tetapi saat Ibnu Muljam telah terjadi tanpa disangka. Orang ini memilih untuk mengeluarkan parang dan menetak saya.
Ada satu maksim yang dikemukakan oleh Saidina Ali menjadi kesukaan saya dalam membuat pertimbangan hidup begini. Maksim baginda banyak yang indah-indah, kebanyakan termuat dalam Nahjul Balaghah. Maksim atau petunjuk tentang hal-hal kecil dalam kehidupan misalnya untuk mengundang atau tidak menerima tetamu.
Kata Imam Ali; kawan kepada kawan kita adalah kawan kita. Musuh kepada kawan kita adalah musuh kita. Kalau dilebarkan dalam pertimbangan politik misalnya, maksim Saidina Ali itu ada ekornya lagi. Ia berbunyi, musuh kepada musuh kita adalah kawan kita dan kawan kepada musuh kita adalah musuh kita.
Kalau kita merenung maksim itu kita akan dapat menentukan patut atau tidak seseorang itu diundang menjadi tetamu di rumah kita. Ini kerana rumah adalah tempat perlindungan kita. Rumah adalah identiti kita. Rumah tempat kita berkasih sayang. Rumah adalah ruang selamat. Di rumah kita bebas musuh. Di rumah kita hanya kawan belaka. Kita tidak membawa musuh pulang. Apabila kita dihempuk oleh orang yang kita menaruh kepercayaan, ia sakit.
Sekarang tergantung pula siapakah yang kita dapat definisikan sebagai musuh?
Oleh sebab itulah juga apabila ada orang bertanyakan kepada saya hukum mengajak orang jahat ke rumah, saya menjadi kaget. Siapakah yang tidak bermusuh dengan orang jahat? Atau, siapakah yang berkawan dengan penjahat?
Untuk kita selaku orang yang berhati-hati menimbang-nimbang tetamu mana yang boleh dan tidak boleh dibawa ke rumah, melihat orang selamba menjamu dan bermesraan dengan penjahat dan perompak; kita cepat kaget. Kita hairan. Mulut kita terbuka dilanda kejut.
Kalau tadi saya membawa maksim Saidina Ali, maka patut kita pertimbang maksim orang Melayu yang memesan jangan sampai membawa orang jahat, pesalah dan penjenayah ke rumah.
Buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali. Kawan baik jangan dibiar mengada, orang jahat jauhkan sekali. Itu pedoman Melayu.
Misalnya, kalau sekadar sekali kita undang perasuah yang sudah disabit salah sebanyak dua kali, ia barangkali kebetulan. Tetapi kalau sampai mengundang penjenayah dua kali ke rumah, mungkin ada keperluan bermuhasabah. Mungkin kita sendiri penjenayah. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.