PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi hari ini diberitahu, Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) tidak mempunyai kemampuan memberi hadiah atau rasuah disebabkan status kewangannya,
Pengakuan itu dibuat bekas pengarah syarikat, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani ketika bersetuju dengan cadangan peguam Zahid, Hamidi Mohd Noh, yang menunjukkannya akaun audit syarikat, antara 2014 dan 2018.
Setakat 31 Dis 2014, keuntungan syarikat itu selepas cukai berjumlah RM625,000, manakala pegangan tunai sebanyak RM1.5 juta.
Hamidi: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa syarikat tidak mempunyai kemampuan memberi hadiah atau rasuah berdasarkan akaun yang diaudit?
Wan Quoris: Ya.
Saksi pendakwaan ke-16 itu, juga berulang kali berkata, UKSB tidak mampu untuk memberi hadiah berharga atau membayar rasuah kepada sesiapa antara 2015 dan 2018.
Pada 2015, firma itu memperoleh keuntungan selepas cukai kira-kira RM114,000, diikuti RM4.9 juta pada 2016, RM2.8 juta pada 2017 dan RM351,000 pada 2018.
Dalam pada itu, pegangan tunai firma berkenaan di bank sebanyak RM2.8 juta pada 2015, RM4.6 juta pada 2016, RM9 juta pada 2017 dan RM1.3 juta pada 2018.
Laporan audit kewangan dikemukakan oleh seorang lagi pengarah UKSB, Fadzil Ahmad, yang menjadi saksi pendakwaan dalam pemeriksaan balas dilakukan pihak pembelaan, bulan lalu.
Laporan kewangan itu bukan sebahagian dokumen diberikan kepada pihak pembelaan seperti diperuntukan mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah, bagi persediaan kes.
Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali pusat sehenti (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN), serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu kepada syarikat sama oleh kementerian berkenaan.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid dituduh sebagai menteri dalam negeri menerima untuk dirinya SGD1,150,000, RM3 juta, €15,000 dan USD15,000 dalam bentuk wang tunai daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.
Bekas timbalan perdana menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Okt 2004 dan Mac 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Yazid Mustafa bersambung esok. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.