PETALING JAYA: Bekas menteri besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan dalam keadaan tidak sihat dan sedang menerima rawatan.
Perkembangan itu dikongsi bekas setiausaha politiknya, Faekah Husin menerusi Facebooknya yang sebak melihat keadaan Khalid selepas melawatnya semalam.
“Semalam sempat ziarah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Masuk sahaja ke bilik, nampak Puan Sri Salbiah (Isteri Abdul Khalid) sedang duduk setia di sisi sambil memerhati beberapa jururawat yang sedang menyediakan alatan untuk memberi rawatan kepada Tan Sri.
“Dengan tidak semena-mena dadaku terasa berat, sebak dan pilu, apatah lagi kedengaran sayup bacaan al-Quran yang dipasang di bilik tersebut.
“Bertambah sedih kerana tiada peluang dan kesempatan untukku berbual bertanya khabar pada Tan Sri kerana jururawat sudah mahu memulakan rawatan,” katanya menurut Berita Harian.
Mei lalu, Khalid dilaporkan kembali stabil selepas dimasukkan ke hospital swasta akibat jangkitan paru-paru.
Sementara itu, Faekah mendoakan semua urusan rawatan Khalid dipermudahkan dan beliau kembali sihat.
“Ya Allah, permudahkan segala urusan rawatannya. Kembalikannya kepada kami untuk kami sama-sama beribadah, bersujud dan beristighfar kepada-Mu, berilah yang terbaik untuknya di dunia dan di akhirat. Aamiin ya rabbal aa la miin.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.