`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, July 22, 2022

Draf akhir laporan Batu Puteh dijangka dibentang Ogos ini

 

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan khas yang ditubuhkan pada 22 Dis tahun lalu untuk tempoh enam bulan, dilanjutkan mulai 10 Mei hingga 30 Ogos bagi memastikan ia diberi tempoh mencukupi untuk melengkapkan tugasan. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Pasukan Petugas Khas (PPK) Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan diketuai bekas Peguam Negara Apandi Ali dijangka akan membentangkan draf laporan akhir kepada kerajaan pada akhir Ogos ini untuk pertimbangan dan persetujuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata PPK kini dalam proses menyiapkan draf laporan akhir dengan mengambil kira input pelbagai pihak berkepentingan serta pakar perundangan agar ia mengandungi opsyen terbaik untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Sehingga kini, pelbagai sesi perbincangan dan mesyuarat telah diadakan sepanjang lebih tujuh bulan PPK melaksanakan tugasan sama ada di peringkat PPK dan juga di peringkat Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil.

“Pendekatan ini membolehkan PPK memfokus kepada skop tugasan berdasarkan terma rujukan PPK yang telah ditetapkan kerajaan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Beberapa lawatan dalam negeri dan luar negara turut diadakan sebagai sebahagian daripada keperluan memaklumkan laporan interim selain mendapatkan pandangan pakar perundangan berkaitan kes ini,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Wan Junaidi turut memaklumkan, PPK yang ditubuhkan pada 22 Dis tahun lalu untuk tempoh enam bulan, dilanjutkan mulai 10 Mei hingga 30 Ogos bagi memastikan ia diberi tempoh mencukupi untuk melengkapkan tugasan yang diamanahkan.

PPK turut dianggotai bekas Duta Besar Malaysia ke The Hague, Ahmad Nazri Yusof, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Baljit Singh Sidhu, Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek dan Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin.

Turut menganggotai PPK itu, wakil kerajaan negeri Johor Mohammed Ridha Abd Kadir, wakil Jabatan Peguam Negara Umar Saifuddin Jaafar, wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Hamdan Aziz serta wakil Kementerian Luar Negeri Shaharudin Onn. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.