`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 25, 2022

‘Kita hanya nasihat’, MBI tak tergamak kompaun premis gagal pasang Jalur Gemilang

 

Setakat ini hanya Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dilaporkan mula mengenakan kompaun kepada premis yang gagal mengibarkan Jalur Gemilang sejak 15 Ogos lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan laporan media baru-baru ini bahawa pihaknya akan mengeluarkan kompaun sebanyak RM250 kepada pemilik premis yang gagal memasang Jalur Gemilang.

Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin berkata pihaknya setakat ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kompaun kepada mana-mana premis dan hanya sekadar memberi nasihat sahaja.

“Bila ditanya media memang kita jawab ada peruntukan kompaun sebanyak RM250 di bawah di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan, atas kesalahan melanggar syarat lesen premis perniagaan.

“Tetapi kita tidak cakap yang kita akan keluarkan kompaun. Sepatutnya kena pasang Jalur Gemilang tetapi kepada premis yang gagal MBI tak pernah lagi kompaun, kita hanya bagi nasihat sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya masih mempunyai sikap timbang rasa dan tidak tergamak mengeluarkan kompaun atas kesalahan tersebut.

Ujarnya, setelah diberi teguran dan nasihat, terpulang kepada kesedaran pihak premis dalam memainkan peranan masing-masing untuk memasang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan yang bakal disambut tidak lama lagi.

“Apa yang boleh dikatakan, pihak kami sudah sampaikan nasihat. Terpulang kepada kesedaran peranan masing-masing untuk memasang Jalur Gemilang bersempena Hari Kemerdekaan,” tambahnya.

Sementara itu bagi Selangor dan Kuala Lumpur, Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pihaknya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun atas perkara tersebut.

Berdasarkan laporan media, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) juga memaklumkan tidak mengenakan kompaun.

Setakat ini hanya Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dilaporkan mula mengenakan kompaun kepada premis yang gagal mengibarkan Jalur Gemilang sejak 15 Ogos lalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.