`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 25, 2022

Najib

 

Pada 6 Jan 2004, kira-kira 5.45 petang, sehari setelah menerima surat pelantikan jawatan daripada Abdullah Ahmad Badawi; Najib Razak menyertai mesyuarat Kabinet sebagai timbalan perdana menteri. Ketika itu, Najib tidak pasti apakah beliau perlu duduk di sisi Abdullah atau di kerusi menteri pertahanan. Untuk meredakan ketegangan dalam jiwanya, Najib masuk beberapa minit lewat, dengan pergi ke tandas terlebih dahulu.

Saya membayangkan ala-ala episod Netflix, mungkin saja Najib merapikan tepi rambutnya di atas cuping telinga kiri. Najib mengesat sempudal di celah rekah bibirnya yang merah dan berkilat itu. Dia membetulkan letak duduk cermin mata. Najib amat berharap ketika ketiadaannya itu, Abdullah telah pun mengumumkan pelantikan tersebut. Dia malah berfikir-fikir lagi, perlukah dia duduk di sebelah kanan Abdullah. Apabila Najib melangkah masuk ke bilik mesyuarat Kabinet, menteri Kabinet sudah pun mengetahui berita tersebut, masing-masing riuh sarkas mengetuk meja tanda seronok setuju.

Gambaran di atas secara asasnya dilakar kembali berdasarkan wawancara dengan Najib sendiri dan termuat dalam buku tulisan Chamil Wariya, “Najib Razak: Prime Minister of Malaysia” di halaman 98. Paluan dengan telapak tangan di atas meja itu sepertinya untuk meyakinkan kita rakyat bahawa Najib memang diterima, dan dinanti sebagai perdana menteri. Tambahan pula, prestasi bapanya Abdul Razak Hussein sering diungkit-ungkit orang.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Akan tetapi, nanti dulu. Dalam tempoh tersebut, pelbagai hal berlaku. Banyak.

Apabila keputusan pilihan raya umum ke-12 diumumkan pada 8 Mac 2009, Barisan Nasional kehilangan antara lain Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Manakala Kelantan terus menjadi negeri pembangkang. Pilihan raya tersebut dihujahkan sebagai pungutan suara terhadap pentadbiran Abdullah, maka oleh desakan dan mainan politik; Najib akhirnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 pagi 3 April 2009 di hadapan Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Ketika era pentadbiran Abdullah, terdapat banyak dakwaan beliau dipengaruhi ramai orang, di mana antara lain nama menantu beliau disebut. Untuk mengelakkan kesilapan tersebut, Najib menyatakan dengan penuh nekad bahawa dia tidak mahu kejadian sama berulang. Maka, Najib berikrar akan membuat keputusan seorang, berdasarkan pertimbangan sendiri. Hal ini disebut dalam buku susunan Chamil di halaman 188.

Kata Najib: “Keputusan akhir hanyalah milik saya seorang. Tidak kira siapa di keliling saya, berapa ramai pun mendampingi saya dan dari mana pun mereka datang, yang pentingnya saya yang akan membuat keputusan.”

Demikianlah, barangkali mulanya demokrasi tergugat di negara ini. Jika ia menjadi siri Netflix, barangkali tatkala mengucapkan kata-kata di atas, kita audien dapat mengkhayalkan siapakah di keliling Najib tersebut.

Dalam ucapannya sempena 100 hari sebagai perdana menteri pada 11 Julai 2009, Najib mengumumkan NKRA atau bidang-bidang keberhasilan utama nasional yang meliputi enam lapangan. Bidang pertama dan kedua yang digariskan beliau ialah “mencegah jenayah” dan “memerangi rasuah”.

Dalam tempoh tersebut, pelbagai hal berlaku. Banyak. Akan tetapi, nanti dulu.

Ini kerana salah satu yang penting dalam banyak-banyak itu ialah pada 8 Jan 2013, iaitu ketika pentadbiran Najib, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada lima hakim Mahkamah Rayuan. Salah seorang daripada mereka adalah Tengku Maimun Tuan Mat. Kemudian pada 6 Mei 2019, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah seterusnya berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun di Istana Negara.

Akan tetapi, nanti dulu. Dalam tempoh tersebut, pelbagai hal berlaku. Banyak.

Sebagai misalan pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas bekas perdana menteri, Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International. Tengku Maimun yang membacakan keputusan panel lima hakim dilaporkan berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat hakim perbicaraan ketika itu, Nazlan Ghazali.

Dalam tempoh mendatang, sehingga lima, enam tahun lagi, masih banyak hal yang pelbagai akan berlaku. Banyak. Dalam banyak-banyak itu, ada paling kurang empat hal yang penting, iaitu Najib masih berdepan empat lagi perbicaraan.

Pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International hanyalah yang pertama dalam lima perbicaraan sedang dihadapi Najib. Perbicaraan lain yang menanti adalah kes 1MDB melibatkan RM2.28 bilion dengan 25 pertuduhan. Terdapat empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi kesalahan yang didakwa dilakukan antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Juga sebanyak 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. Ia melibatkan sembilan pertuduhan menerima RM2.08 bilion, tujuh pertuduhan memindahkan RM2.19 bilion dan lima pertuduhan menggunakan RM22.649 juta.

Najib juga sedang berdepan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB, di mana dalam kes ini, Najib didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai pegawai awam atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk mengubah laporan audit 1MDB, yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 2016. Ini dilakukan agar tiada tindakan boleh diambil terhadapnya oleh Parlimen. Perbicaraan ini dijangka bersambung 26 Ogos 2022. Jadi, masih banyak menanti kita.

Selain itu, terdapat pula kes International Petroleum Investment Co (Ipic). Dalam kes ini, Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah berdepan enam pertuduhan pecah amanah membabitkan RM6.64 bilion dana kerajaan untuk pembayaran kepada Ipic. Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017. Sebahagian daripada dana itu dilindungi dengan tujuan tertentu, termasuk perbelanjaan pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa KL, subsidi dan bantuan tunai dilaporkan di bawah peruntukan Belanjawan 2017.

Juga terdapat tiga lagi pertuduhan tambahan berhubung SRC International yang belum didengari. Ia melibatkan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta. Untuk pertuduhan ini, Najib didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM27 juta, RM10 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Demikian banyak pertuduhan dan angka penyelewengan yang disebutkan, kita tidak mengetahui apa yang akan terus berlaku. Dalam tempoh mendatang, sehingga tujuh, lapan tahun tahun lagi, tentu masih banyak hal yang pelbagai akan berlaku. Banyak.

Mungkin ada anak-anak Najib yang akan berhasrat menggantikannya sebagai pimpinan parti politik. Kita belum mengetahui nasib isteri Najib. Umno nampaknya masih berpegang bahawa Najib teraniaya, meskipun terdapat banyak pertuduhan dengan banyak bilion disebutkan seperti di atas di mahkamah. Dalam tempoh tersebut, pelbagai hal telah berlaku. Banyak. Misalnya, kita rakyat akan terus menanggung rugi yang banyak daripada penyelewengan berkaitan. Hal ini mungkin tidak disedari tukang sorak tengah panas dan tengah hujan di luar pekarangan mahkamah.

Banyak yang akan berlaku.

Akan tetapi, dalam banyak-banyak itu, ingatan saya kembali kepada detik 6 Jan 2004, kira-kira 5.45 petang, sehari setelah menerima surat pelantikan jawatan daripada Abdullah. Ketika itu, Najib tidak pasti apakah beliau perlu duduk di sisi Abdullah atau di kerusi menteri pertahanan. Untuk meredakan galau dalam diri, Najib masuk beberapa minit lewat, dengan bersengaja ke tandas terlebih dahulu. Di situ, saya membayangkan ala-ala episod Netflix, sekadar lantunan imejan; Najib merapikan tepi rambutnya di atas cuping telinga kiri. Dia membetulkan letak duduk cermin mata.

Najib mengesat sempudal – yang banyak – di celah rekah bibirnya yang merah dan berkilat itu. Bayangan itu bergulir berganti di dalam tandas Penjara Kajang. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.